SERAMAI 35 peniaga dan penjaja tepi jalan di Seberang Perai Utara dikenakan notis amaran, kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil pemantauan dan pemeriksaan mendapati terdapat peniaga pakaian yang cuba membuka premis mereka untuk menjalankan perniagaan, yang tidak membenarkan di pasar pagi atau malam yang dibenarkan berniaga.
“Setakat ini 20 peniaga pakaian telah diberikan notis amaran untuk menutup premis atau gerai mereka, sehingga pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), membenarkan mereka berniaga pakaian.
“Pihak polis akan terus membuat pemantauan bagi memastikan semua pihak terutama peniaga mematuhi arahan MKN dan mengikut SOP yang ditetapkan ketika pelaksanaan PKP, kerana kita nak bendung penularan wabak Covid-19. Orang ramai yang tiada urusan penting tidak perlu keluar rumah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu beliau mengetuai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama penguatkuasa MBSP dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mengadakan pemantauan serta pemeriksaan SOP di Pasar Awam Apollo Raja Uda, Butterworth dekat sini dan Pasar Nelayan Penaga.
Selain itu, Noorzainy berkata sebanyak 15 penjaja yang berniaga di tepi jalan berhampiran Pasar Nelayan Penaga dikenakan notis tidak boleh berniaga kerana tidak patuh SOP, serta bukan berniaga di tapak perniagaan yang sepatutnya sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
Katanya tindakan penjaja tepi jalan itu boleh menyebabkan berlaku penularan wabak Covid-19, kerana pengunjung langsung tidak menjaga penjarakan fizikal malah tiada laluan masuk serta keluar dan tiada pengimbas suhu. – Bernama, 24 Januari, 2021.
Komen