Ramasamy desak MKN batal perarakan Thaipusam


MKN patut bertegas dengan keputusan sebelum ini yang tidak membenarkan perarakan Thaipusam dan tiada pengecualian diberi kepada sesiapa sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2021.

KEPUTUSAN Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan perarakan Thaipusam dari Kuala Lumpur ke Batu Caves adalah tidak bertanggungjawab dan tidak membantu mengekang wabak Covid-19, kata P Ramasamy.

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berkata MKN sepatutnya bertegas dengan keputusan sebelum ini yang melarang perarakan Thaipusam dan acara lain yang berkaitan di seluruh negara ketika negara sedang berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) baharu untuk membendung jangkitan kes Covid-19.

Beliau menambah, masih belum terlambat bagi MKN membatalkan kelulusan diberikan kepada Sri Maha Mariamman Devasthanam untuk melakukan perarakan dari pusat bandar ke Batu Caves pada 27 Januari, dan perjalanan pulang pada 29 Januari. Thaipusam jatuh pada 28 Januari.

“Jika MKN harap rakyat di negara ini memandang serius wabak ini, maka ia mesti dilihat sebagai pihak yang serius dan bertanggungjawab.

“Dengan peningkatan kes Covid-19, acara sosial dan keagamaan mesti dikawal.

“Tidak boleh berlaku pengecualian bagi perkara tertentu yang akan memberi gambaran bahawa kita tidak serius dalam melandaikan lengkungan pandemik.

“Sikap tidak bertanggungjawab seperti itu tidak akan membantu mengekang wabak ini,” kata Ramasamy, yang juga ketua Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang.

Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang menjadi negeri pertama mengumumkan pembatalan perarakan Thaipusam tahun ini, diikuti oleh Selangor dan negeri lain.

Seminggu kemudian, MKN membuat keputusan membatalkan perarakan Thaipusam.. – 24 Januari, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen