PKPD di 3 kawasan ditamatkan


Dalam hal berasingan, beliau berkata, pada Jumaat, sebanyak 7,993 pekerja asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 di mana 203 individu dilaporkan positif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2021.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan di tiga lokaliti iaitu di Johor dan Negeri Sembilan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Kawasan itu adalah hostel pekerja Westlite 1 dan 2 di Senai, Pusat Koreksional, Kuarters Kakitangan Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru dan Penjara Jelebu di Negeri Sembilan.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penurunan jumlah kes positif Covid-19.

“Kita telah bersetuju menarik semula PKPD di hostel pekerja Westlite 1 dan 2, Pusat Koreksional, Kuarters Kakitangan Johor Bahru dan penjara Jelebu.”

“PKPD di Westlite 1 dan 2 sepatutnya ditamatkan pada 29 Januari tetapi Kementerian Kesihatan mendapati tiada lagi kes dan sampel baharu diuji.

“Bagi pusat koreksional Johor Bahru, sepatutnya ditamatkan pada 24 Januari. Bagaimana pun, Kementerian Kesihatan mengesahkan kes turun mendadak di mana kes terakhir pada 13 Januari.

“Kerajaan hari ini bersetuju menarik semula PKPD di pusat koreksional dan kuarters kakitangan.

“Sementara itu, di penjara Jelebu kerajaan setuju menarik kembali arahan (PKPD) kecuali di Blok Muhasabah di mana 49 kes aktif dilaporkan dengan 69 kontak rapat masih dalam kuarantin.

PKPD di Blok Muhasabah akan dilanjutkan bermula 25 Januari sampai 7 Februari,” kata Ismail Sabri.

Dalam hal berasingan, beliau berkata, pada Jumaat, sebanyak 7,993 pekerja asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 di mana 203 individu dilaporkan positif.

“Kerajaan sebelum ini mengarahkan semua majikan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan menghantar semua pekerja asing mereka menjalani ujian Covid-19.

“Secara kumulatif, sebanyak 198,422 pekerja asing telah disaring. Semalam sahaja, 7,993 pekerja telah disaring di mana 203 daripadanya didapati positif.

“Keseluruhannya, 3,942 pekerja telah didapati positif sementara 194,480 negatif. Setakat hari ini, 852 klinik terlibat dalam program ini,” kata Ismail Sabri. – 23 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen