4,275 kes hari ini, pecah rekod paling tinggi


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes dilaporkan hari ini, sebanyak 11 kes import dan selebihnya penularan tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2021.

MALAYSIA hari ini mencatatkan rekod tertinggi kes harian jangkitan Covid-19 dengan 4,275 kes dalam tempoh 24 jam.

Jumlah paling tinggi hari ini dilaporkan selepas seminggu negara mencatatkan kes tertinggi pada 16 Januari lalu dengan 4,029 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes dilaporkan hari ini, sebanyak 11 kes import dan selebihnya penularan tempatan.

Katanya kes yang dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan kes 180,455 sementara kes yang masih aktif sebanyak 42,769.

Katanya kes paling tinggi dilaporkan di Selangor dengan 1,421 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 548 dan Sabah dengan 498 kes.

Noor Hisham berkata, Selangor mendahului negeri-negeri lain dengan jumlah keseluruhan negeri itu sebanyak 53,384, diikuti Sabah dengan 46,360 dan Kuala Lumpur 20,970.

Tujuh kematian dilaporkan hari ini di seluruh negara, menjadikan jumlah kematian setakat ini sebanyak 667 atau 0.37 peratus.

Dua kematian masing-masing dilaporkan di Selangor dan Johor, manakala satu di Melaka, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Mangsa yang meninggal dunia hari ini terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita.

Semua tujuh mangsa didapati mempunyai masalah kesihatan lain.

Turut dilaporkan kes pulih sebanyak 4,313.

Daripada 42,769 kes aktif, 260 dimasukkan ke unit rawatan rapi dan daripada jumlah tersebut, 103 memerlukan alat bantuan pernafasan. – 23 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen