KEMENTERIAN Kesihatan Indonesia mengesahkan Bupati Sleman di Yogyakarta, Sri Purnomo yang didapati positif Covid-19 hanya selepas beberapa hari menerima suntikan vaksin sebenarnya telah dijangkiti virus itu sebelum menerima dos pertama.
Menurut laporan media tempatan, Sri Purnomo menerima suntikan vaksin Sinovac pada 16 Januari lepas, dan pada 20 Januari, beliau disahkan positif Covid-19.
Beliau kini menjalani kuarantin di rumah.
Indonesia memulakan vaksinasi Covid-19 sejak 13 Januari lepas, yang menyasarkan suntikan kepada lebih 182 juta penduduk.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Dr Siti Nadia Tarmidzi dalam satu kenyataan berkata vaksin itu bukan penyebab Sri Purnomo dijangkiti virus berkenaan, sebaliknya beliau telah pun dijangkiti sebelum suntikan itu dilakukan. – 23 Januari, 2021.
Komen