Warisan turut rayu Agong batalkan perintah darurat


Ahli Parlimen Semporna itu turut menggesa supaya Putrajaya membenarkan Parlimen bersidang ketika darurat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2021.

AHLI Parlimen Warisan telah mengirim surat memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan perintah darurat, kata Mohd Shafie Apdal.

Pengerusi Parti Warisan Sabah itu berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sekarang ini sudah cukup bagi Putrajaya untuk mengekang penularan Covid-19.

“Kami (ahli Parlimen Warisan) sudah kirim surat kepada Agong. Jadi, terpulang kepada Tuanku.

“Kerajaan lain menggunakan sekatan yang lebihkurang sama dengan PKP. Kami bimbang (mengenai pengumuman darurat), walaupun Perlembagaan memperuntukkannya.

“Kadar jangkitan Covid-19 dapat dikendalikan dan telah menurun di kawasan-kawasan tertentu. Saya rasa ini bukan masa yang tepat untuk kita adakan darurat,” kata bekas ketua menteri Sabah hari ini dalam laporan berita.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Semporna itu turut menggesa supaya Putrajaya membenarkan Parlimen bersidang ketika darurat.

“Ia boleh diadakan bila-bila masa yang diperlukan. Namun, keutamaannya adalah keselamatan rakyat dan ekonomi yang lemah waktu pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut undang-undang Perlembagaan, menjadi perkara biasa pengisytiharan darurat dibentangkan di Parlimen.

Ahad lalu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata pembangkang merancang untuk mencabar perintah darurat di mahkamah, setelah mengumumkan bahawa beliau akan merayu kepada Agong untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan rakyat terhadap penyalahgunaan kuasa kerajaan.

Minggu lalu Anwar berkata beliau telah menghantar memo kepada ahli-ahli Parlimen untuk merayu kepada Agong untuk menarik kembali perintah darurat dan memohon Parlimen bersidang secepat mungkin.

Pemimpin pembangkang berkata keputusan Muhyiddin tidak sah kerana perdana menteri tidak mendapat sokongan Parlimen. – 23 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen