Menjelang sesi persekolah baharu, sekolah Cina kurang 500 guru


The Malaysian Insight

Kekurangan guru di sekolah Cina semakin meruncing apabila ramai guru bersara dan meletak jawatan. Di tambah lagi dengan kesukaran mencari guru fasih Mandarin untuk ditempatkan di sana, masalah ini menyebabkan sekolah Cina kurang 500 guru menjelang sesi persekolahan baru 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2017.

Kekurangan guru sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) boleh diatasi dengan meletakkan graduan baru tamat pengajian institut latihan perguruan, kata kumpulan pendidikan China, Dong Jiao Zong.

Tetapi menurut Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Cheun, Kementerian Pendidikan (MOE) hanya akan menempatkan graduan baru pada Mac 2018 menyebabkan sekolah akan kekurangan guru pada awal sesi persekolahan 2018.

“Apabila sekolah mula dibuka pada Januari 2018, banyak SJKC yang akan berdepan masalah kekurangan guru.

“Apatah lagi dengan ramai guru besar dan guru akan bersara tak lama lagi, kekurangan guru akan jadi lebih teruk,” kata Ong.

Memetik kajian dilakukan Persatuan Guru Besar Sekolah China, Ong berkata terdapat lebih 500 kekosongan jawatan guru disebabkan persaraan dan peletakan jawatan.

Jiao Zong atau Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia berkata, masalah itu bertambah buruk apabila Kementerian Pendidikan gagal memberikan peruntukan mencukupi untuk sekolah menggaji guru sementara.

Ong berkata pada waktu dahulu, bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Wee Ka Siong membantu mengatur penempatan 400 graduan baru institut latihan perguruan di SJKC sebagai guru sementara.

Guru ini kemudiannya diserap masuk untuk jawatan tetap selepas lulus temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, kata Ong.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Wee Ka Siong pernah membantu 400 graduan pendidikan ditempatkan di sekolah Cina sebelum mereka diserapkan sebagai guru tetap selepas lulus temuduga. Dong Jiao mengatakan kementerian boleh buat perkara sama sekarang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2017.

“Jika kementerian boleh buat begitu pada waktu dahulu, pastinya mereka juga boleh perkara sama sekarang, berbanding hanya biarkan graduan ini duduk di rumah tak buat apa-apa,” katanya lagi.

Ong berkata, penyelesaian yang perlu dilakukan kementerian sekarang adalah membenarkan 400 graduan baru mengisi jawatan guru sementara berbanding menunggu sehingga Mac.

Katanya, walaupun kementerian sudah banyak membantu mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah jenis kebangsaan Cina, kementerian masih boleh memberikan lebih banyak peruntukan bagi membantu sekolah menggaji guru sementara.

Kekurangan guru dan kakitangan adalah masalah utama di sekolah jenis kebangsaan yang sering dibangkitkan aktivis pendidikan Cina.

Tetapi, dalam usaha menangani masalah kekurangan guru, kementerian juga perlu memastikan guru yang dihantar ke sekolah jenis kebangsaan Cina fasih berbahasa Mandarin.

Jiao Zong sebelum ini mengadu yang penghantaran guru tidak fasih berbahasa Mandarin ke sekolah Cina menghakis identiti sekolah itu. – 28 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen