KUMPULAN Hindu akan mengirim memorandum kepada Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah berikutan keputusan kerajaan negeri itu membatalkan cuti Thaipusam tahun ini.
Penasihat Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy berkata, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nur telah membuli masyarakat Hindu negeri itu dalam beberapa isu, paling terbaharu pembatalan cuti umum itu yang menimbulkan kemarahan mereka.
“Kami kesal dan prihatin dengan perkara yang berlaku di Kedah,” kata Arun.
“Kami tertanya-tanya mengapa istana Kedah diam dalam hal ini ketika menteri besar terus menerus membuli masyarakat Hindu di negeri ini, yang merangkumi isu perobohan kuil, memfitnah institusi kuil dan terbaharu, tidak membenarkan cuti Thaipusam.
“Kami akan kirim ‘Memorandum of Hindu Festival Matter’ kepada sultan pada Isnin ini.
“Oleh sebab kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini akan jadi memorandum terbuka, di mana ia akan dikirim melalui beberapa platform, merangkumi e-mel, faks, perkhidmatan penghantaran cepat dan juga hantaran di Facebook, Twitter dan Instagram.”
Kerajaan negeri Kedah menerima kritikan hebat selepas membatalkan cuti umum Thaipusam yang jatuh pada 28 Januari kerana krisis Covid-19.
Sanusi berkata tindakan itu bukanlah bertujuan untuk menafikan hak penganut Hindu yang masih dapat merayakannya di rumah atau di bawah garis panduan kesihatan dan keselamatan yang dikuatkuasakan.
Beliau mendesak semua pihak untuk tidak “mempolitikkan” perkara itu.
Arun berkata keputusan itu “sangat tidak masuk akal” kerana penganut Hindu masih boleh bersembahyang dan beraya di rumah jika Thaipusam kekal sebagai cuti umum.
“Kami meminta exco negeri mengkaji kembali keputusan itu dan menarik balik pembatalan cuti Thaipusam.
“Penganut Hindu masih dapat merayakan Thaipusam dengan norma baharu di rumah dan di kuil-kuil tanpa terlibat dalam sebarang bentuk perhimpunan.”
Beliau berkata, penting buat penganut Hindu bercuti di hari Thaipusam supaya dapat memenuhi kehendak agama dan menjalankan upacara sembahyang.
Beberapa ahli politik di kedua belah pihak mengkritik tindakan Sanusi.
Sanusi menjawab tuduhan pengkritik dengan mengarahkan mereka meyakinkan kerajaan persekutuan mengumumkan Thaipusam sebagai hari cuti di seluruh negara.
Arun berkata, beliau juga kecewa kerana para pemimpin Melayu termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdiam diri dengan isu ini.
Pada 2017, bekas menteri besar Kedah Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan Thaipusam sebagai hari cuti di negeri jelapang padi itu.
Tahun lepas, Kedah tidak menggantikan hari Thaipusam kerana festival itu jatuh pada hari Sabtu. – 23 Januari, 2021.
Komen