ALAHAN teruk kesan pengambilan suntikan vaksin Covid-19 Moderna “amat jarang berlaku”, dengan hanya 10 kes dilaporkan daripada lebih empat juta dos pertama yang telah diberi, kata pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) semalam.
Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) juga menegaskan suntikan vaksin sangat penting dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.
“Berdasarkan pemantauan awal, alahan serius selepas menerima suntikan vaksin Moderna amat jarang berlaku,” kata CDC dalam satu laporan, sambil menambah tiada satu pun kes alahan membawa kepada kematian.
Data dari CDC menunjukkan terdapat 10 kes alahan serius dilaporkan dari 4,041,396 dos pertama vaksin Moderna yang diberi antara 21 Disember hingga 10 Januari.
Daripada 10 kes tersebut, enam individu dimasukkan ke hospital, kata CDC, manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar.
Angka tersebut juga bersamaan 2.5 kes alahan serius daripada satu juta suntikan, berbanding 11.1 kes per sejuta suntikan vaksin Pfizer, menurut kajian CDC.
“Ciri-ciri klinikal dan epidemiologi laporan kes anaphylaxis (alahan) selepas menerima vaksin Covid-19 Moderna sama seperti yang dilaporkan membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech.”
Bagi 10 kes alahan teruk itu juga, kesemuanya adalah wanita, berumur dari 31 hingga 63 tahun. Dan sembilan daripada mereka mempunyai sejarah alahan, walaupun bukan terhadap vaksin.
Begitu juga kes alahan terhadap vaksin Pfizer, di mana pakar berpendapat lebih ramai wanita yang mengalami alahan mungkin kerana jumlah golongan itu yang disuntik vaksin melebihi lelaki, iaitu pada kadar 2:1.
“Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa pemberian vaksin Covid-19 secara meluas amat penting dalam usaha membendung pandemik dan menyelamat,” kata CDC. – AFP, 23 Januari, 2021.
Komen