Ketepatan kit ujian kendiri Covid-19 diragui, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Ketepatan kit ujian Covid-19 yang dijual dalam talian untuk melakukan ujian di rumah diragui. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan memberi amaran kepada masyarakat umum berhubung penggunaan kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual dalam talian kerana ketepatan keputusannya diragui.

“Pertama, kita tidak tahu ketepatannya dan ia tidak disahkan oleh IMR (Institut Penyelidikan Perubatan) dan kedua ia mengesan antibodi bukan antigen,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kepada The Malaysian Insight.

“Kit yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) adalah tidak sah.”

Dr Noor Hisham dalam sidang media pada Mei 2020 pernah menyatakan kit ujian untuk antibodi tidak disyorkan untuk diagnosis Covid-19.

Ini kerana kehadiran antibodi tidak mengesahkan jangkitan aktif manakala keputusan negatif tidak menjamin seseorang individu itu tidak dijangkiti.

Kit ujian yang digunakan phak berkuasa Malaysia adalah RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) atau kit ujian Antigen Rapid (RTK-AG).

Peniaga menjual kit ujian antigen di platform media sosial seperti Facebook.

Malah ada juga yang menjual kit ujian antibodi yang tidak disyorkan oleh Kementerian Kesihatan dan mendakwa kit berkenaan lebih berkesan berbanding varian antigen.

Mereka mendakwa ujian boleh dilakukan di rumah tanpa bantuan petugas kesihatan atau tanpa perlu ke hospital atau klinik.

Pemeriksaan mendapati kit ujian kendiri berkenaan berharga antara RM70 dan RM100 bergantung kepada jenama dan penjual.

Malah ada iklan yang mendakwa kit ujian Standard Q Ag dari Korea Selatan hanya mengambil masa 15 dan 30 minit untuk keputusan, dan menambah kit berharga RM88 itu dihasilkan oleh pengeluar yang sama untuk kit ujian yang digunakan Kementerian Kesihatan.

Seorang lagi peniaga yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 RTK- Antigen AccuFind memberi jaminan ketepatan keputusan ujian sehingga 99%.

Peniaga terbabit mendakwa keputusan ujian dari kit ini hanya mengambil masa satu hingga dua minit.

Seorang penjual yang mempromosikan kit antibodi berkata walaupun ujian RT-PCR mungkin menjadi tidak tepat dengan strain virus yang akan datang, antibodi itu masih dapat berfungsi dalam kes seperti itu.

“Musim Covid-19 mungkin akan berlarutan minimum satu atau dua tahun. Ia seperti flu biasa, ia akan bermutasi dan menyebabkan vaksin tidak lagi berkesan.”

“Sekiranya terdapat kebimbangan risiko, uji diri anda dengan Covid-19 HomeTest Kit, * ujian berganda * (dalam tempoh beberapa hari), pengesahan adalah pendekatan paling selamat.

“Dan lebih buruk lagi adalah ada kemungkinan strain di masa depan dapat menjadikan ujian PCR usang, tetapi ujian antibodi masih sah,” kata penjual itu dalam sebuah iklan promosi.– 23 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen