18 kematian Covid-19 direkodkan, 3,631 kes baharu 


Ragananthini Vethasalam

18 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kematian setakat ini 660.– Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 22 Januari, 2021.

MALAYSIA merekodkan kes kemaian Covid-19 tertinggi selepas melaporkan 18 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat wabak itu 660. 

Jumlah kes kematian tertinggi dalam sehari sebelum ini direkodkan pada 8 Januari dengan 16 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia melaporkan 3,631 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes 176,180 manakala kes aktif meningkat kepada 42,814.

Selangor masih merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 782 diikuti Johor dan Sabah masing-masing 466 dan 453.

Mengenai kes pulih, Noor Hisham berkata 2,554 orang didiscaj dari hospital selepas pulih dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih seluruh negara 132,706.

Sementara itu, 251 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi yang mana 102 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor menyaksikan kes kematian tertinggi dengan sembilan kes diikuti Sabah tiga kes, manakala Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing merekodkan dua kes.

Sementara itu Johor dan Pulau Pinang masing-masing merekodkan satu kes kematian.

Mangsa paling tua berusia 93 tahun di Sarawak manakala yang paling muda berusia 32 tahun di Selangor. 

Kedua-dua mangsa terbabit mempunyai sejarah penyakit kronik.– 22 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen