Malaysia akan uji 2 ubat rawat Covid-19, kata KP Kesihatan


Pakar dari Institut Penyelidikan Klinikal dan bahagian penyakit berjangkit KKM sedang dalam proses membangunkan ujian klinikal ke atas Ivermectin dan Favipiravir, bagi menentukan keberkesanan dalam merawat Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang membangunkan ujian klinikal ke atas ubat Ivermectin (IVM) dan Favipiravir, bagi menentukan keberkesanan dalam merawat Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

“Pakar dari Institut Penyelidikan Klinikal dan bahagian penyakit berjangkit KKM sedang dalam proses membangunkan ujian klinikal ke atas IVM, dan juga Favipiravir untuk menentukan keberkesanan ubat ini.

“Kami akan mengemas kini hasilnya nanti,” katanya di Facebook hari ini.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata sejak IVM disenaraikan sebagai ubat penting oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sejak 2019. Ubat antelmintik itu digunakan untuk merawat pelbagai serangan parasit.

“IVM murah, mudah didapati, dan selamat digunakan, dan di Malaysia ia dilesenkan untuk digunakan pada haiwan,” kata Dr Noor Hisham.

Ujian makmal menunjukkan IVM mempunyai sifat antivirus terhadap virus RNA dan DNA, dan digunakan semula oleh beberapa doktor, katanya.

Tambah beliau, terdapat laporan menunjukkan kesan memberangsangkan jika pesakit Covid-19 tahap awal diberi IVM sebagai cara menghadkan beban virus dan mencegah perkembangan penyakit yang teruk atau jangkitan daripada individu ke individu lain.

Memetik laporan kajian rintis yang diterbitkan di Lancet beberapa hari, Dr Noor Hisham berkata walaupun IVM menunjukkan beberapa hasil positif tetapi para penulis menyimpulkan bahawa kajian tersebut perlu diteroka lebih lanjut melalui ujian lebih besar berserta hasil klinikal pada pesakit dengan faktor risiko atau penyakit yang lebih parah.

Buat masa ini, tiada data mencukupi untuk menyokong penggunaan IVM untuk rawatan Covid-19, tambahnya.

Pada Mac tahun lalu, Dr Noor Hisham berkata menimbang penggunaan ubat Favipiravir untuk merawat pesakit positif Covid-19. – 22 Januari, 2021.     

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen