Lebih ramai positif jika biar pesakit Covid-19 di rumah, kata Dr Mahathir


Pesakit Covid-19 sepatutnya dirawat dan dikuarantin di hospital bagi mengelakkan lebih banyak jangkitan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2021.

KEPUTUSAN kerajaan membiarkan pesakit yang positif Covid-19 menjalani kuarantin di rumah akan menyebabkan lebih banyak jangkitan, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, keadaan pesakit juga boleh bertambah buruk, kata kata beliau dengan merujuk satu kes di kalangan anggota keluarganya sendiri yang didapati positif.

“Semasa di rumah keadaannya menjadi teruk sehingga tidak dapat bernafas. Maka dia pun dimasuk ke hospital.

“Masalahnya semasa dia berada di rumah, penyakitnya menjangkiti ahli di rumah,” katanya dalam tulisan di blog chedet.cc.

Jelasnya, beliau mengesyaki kes itu tidak dibawa ke hospital kerana jumlah pesakit Covid-19 terlalu ramai hari ini sehingga 4,00 kes sehari namun menegaskan pesakit tidak boleh kekal di rumah.

“Jika pesakit berada di rumah, ahli keluarga akan dijangkiti. Maka lebih ramailah yang terjangkit. Sepatutnya mereka dimasuk ke dalam kuarantin berasingan dari keluarga,” katanya.

Dr Mahathir turut menyatakan kebimbangan mengenai penjarakan di pusat kuarantin kerana timbul aduan mengenai kesesakan dan perhimpunan ramai.

“Dari gambar yang diperolehi katil-katil terlalu dekat dan apabila ada lawatan pembesar pesakit akan berkumpul. Ini akan menyebabkan jangkitan merebak,” katanya.

Beliau dipercayai merujuk kepada gambar yang tular mengenai perhimpunan dan masalah penjarakan yang berlaku apabila pusat kuarantin dilawat pemimpin kerajaan.

Bermula Selasa lalu, kerajaan membenarkan pesakit tahap satu menjalani kuarantin di rumah ekoran kesesakan di hospital dan pusat rawatan risiko rendah.

Pemantauan ke atas pesakit tersebut dibuat melalui aplikasi MySejahtera.

Pada masa sama, sebanyak 14 lagi hospital di seluruh negara ditetapkan sebagai hospital merawat Covid-19 kategori tiga, empat dan lima, melibatkan pertambahan 539 buah katil.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sewaktu mengumumkan perkata itu berkata ia bagi menampung pertambahan sehingga 20% pesakit pada tahap serius tersebut.

Oleh itu kementerian menganggarkan seramai 600 pesakit akan dimasukkan ke hospital daripada pertambahan harian sekitar 3,000 kes pada waktu ini, katanya.

Katanya, prosedur untuk memantau kes positif tidak bergejala akan diperkemas dan memberi jaminan membawa pesakit tahap satu dan dua yang berisiko akan dibawa ke pusat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Dr Mahathir seterusnya dalam kenyataannya berkata, pandemik Covid-19 kini terlalu besar untuk ditangani oleh Dr Noor Hisham seorang diri.

Oleh itu beliau menyarankan kerajaan mengadakan perbincangan dengan pakar untuk menangani pandemik dengan lebih berkesan.
 
“Sesungguhnya ada banyak cara dan amalan yang boleh kurangkan jumlah jangkitan. Diharap doktor pakar dapat berbincang dengan pegawai kerajaan.

“Khidmat (Ketua) Pengarah Kesihatan amat dihargai. Tetapi wabak ini agak terlalu besar untuk ditangani oleh seorang sahaja,” katanya lagi. – 22 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen