China sumbang 500,000 dos vaksin Covid-19 kepada Pakistan


Pakistan sudah memberi kelulusan kepada penggunaan kecemasan kepada vaksin SinoPharm dari China. – Gambar EPA, 22 Januari, 2021.

CHINA akan menyumbangkan 500,000 dos vaksin Covid-19 kepada Pakistan, kata menteri luar negara itu Shah Mahmood Qureshi pada Khamis.

Pengumuman itu dibuat ketika jumlah kes koronavirus meningkat menjadi 527,146 di Pakistan, dengan lebih 11,000 kematian sejak virus itu pertama kali dikesan pada Februari tahun lalu.

“Pakistan sangat menghargai 500,000 dos vaksin yang diberikan oleh China,” tulis menteri luar negeri itu di Twitter.

Berita itu susulan pengumuman serupa dari negara lain di rantau ini - Filipina, Kemboja dan Myanmar yang berkata mereka akan menerima sumbangan vaksin dari Beijing.

Qureshi sebelumnya berkata kepada wartawan: “China memberi jaminan kepada kami yang penghantaran pertama setengah juta dos adalah percuma dan akan tiba pada akhir Januari.”

Beijing juga berjanji akan menghantar 1 juta dos lagi pada akhir Februari, katanya dan menambah penggunaan kecemasan dan kebenaran vaksin SinoPharm sudah diluluskan di Pakistan.

Sejak bertahun lamanya, China memberi fokus kepada Pakistan dengan projek pembangunan raksasa, pembinaan jalan raya, loji janakuasa dan pelabuhan strategik. – AFP, 22 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen