Covid-19: Pulau Pinang tingkat penguatkuasaan di kawasan berisiko tinggi 


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow juga berkata vaksin dijangka tiba di negeri ini pada penghujung Februari 2021.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2021.

KERAJAAN Pulau Pinang memberi tumpuan kepada usaha mengaktifkan jawatankuasa dan kumpulan kerja di setiap peringkat selain meningkatkan penguatkuasaan di kawasan berisiko tinggi atau ‘hotspot’ dalam usaha membanteras pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkara itu ditekankan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini.

Katanya selain itu, terdapat lapan perkara yang bakal dijadikan garis panduan ke arah pembentukan jawatankuasa teknikal kerja yang menjurus kepada senario pencegahan secara ‘micromanage’ mengikut lokaliti atau lebih tertumpu kepada corak jangkitan setempat.

“Antara makluman serta keputusan yang dicapai pada mesyuarat hari ini adalah di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan pasukan kerja di lapangan boleh meneruskan inisiatif mengenal pasti keperluan aset termasuk sumber-sumber swasta dan membincangkannya di peringkat jawatankuasa teknikal sebelum dibawa ke peringkat negeri serta Persekutuan bagi tindakan lanjut.

 “Selain itu, maklumat bagi kes-kes jangkitan di lokaliti akan digunakan untuk perancangan lanjut peringkat jawatankuasa teknikal,” katanya dalam satu kenyataan di Pulau Pinang hari ini.

Chow berkata saringan dalam kalangan pekerja asing di kilang dan tapak binaan kini bukan hanya tertakluk kepada Program Saringan Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sahaja, sebaliknya pihak majikan turut mengambil inisiatif sendiri bagi memperhebatkan lagi saringan massa secara lebih menyeluruh berasaskan pendekatan 3T iaitu testing (saringan) secara besar-besaran, tracing (mengenal pasti) dan treating (merawat).

Sementara itu, beliau berkata vaksin dijangka tiba di negeri ini pada penghujung Februari 2021 dan perancangan suntikan terutamanya pada aspek logistik sedang diteliti dengan lebih lanjut. – Bernama, 21 Januari, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen