KEDAH tidak perlu membatalkan cuti umum Thaipusam bagi mengelakkan perhimpunan besar kerana sudah ada sekatan pergerakan, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Beliau berkata, Thaipusam yang jatuh pada 28 Januari adalah antara acara terpenting bagi kaum India di negara ini.
“Negeri-negeri Malaysia sudah berpuluh tahun mengisytiharkan perayaan ini sebagai hari cuti.
“Walaupun perayaan tahun ini terkesan akibat PKP, tiada perlunya untuk batalkan hari cuti sebab keluarga kaum India masih boleh meraikannya di rumah masing-masing,” katanya hari ini di Facebook.
“Kita kekalkan sahaja tradisi ini. Kita 1Malaysia.”
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor semalam mengumumkan cuti umum dibatalkan kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) melarang perayaan berskala besar.
Langkah itu mendapat kritikan daripada pemimpin India Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy.
Dalam kenyataan berasingan, mereka berkata tidak perlu mengisytiharkan Thaipusam sebagai bukan cuti umum kerana krisis koronavirus menyebabkan perayaan besar tradisional itu tidak mungkin diadakan.
Saravanan, yang merupakan timbalan presiden MIC, berkata sebagai anggota pakatan kerajaan, kerajaan PAS seharusnya berunding dengan wakil India dalam kerajaan persekutuan sebelum membuat keputusan seperti itu.
Beliau berkata MIC akan menentang keputusan itu jika ia dimaklumkan.
Saravanan berkata, keputusan itu boleh merugikan Perikatan Nasional dalam pilihan raya kerana terdapat kaum India yang cukup besar di Kedah.
Ramasamy daripada DAP juga membantah keputusan PAS itu.
Beliau berkata walaupun perayaan itu dibatalkan, ia tidak menafikan kepentingan Thaipusam dalam agama.
Pulau Pinang, yang secara tradisinya menyambut Thaipusam secara besar-besaran, telah membatalkan perarakan yang menarik hingga 3 juta orang ke jalanan sekitar George Town.
Perayaan juga dibatalkan di Batu Caves yang menjadi perhimpunan Thaipusam terbesar di negara ini setiap tahun.
Namun tidak seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor belum membatalkan ia sebagai cuti umum. – 21 Januari, 2021.
Komen