Covid-19 percepat pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, kata PM


Pandemik Covid-19 yang menjejaskan dunia sejak awal tahun lepas, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2021.

PENULARAN pandemik Covid-19 yang menjejaskan dunia sejak awal tahun lepas, terbukti mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata sejak pandemik itu bermula, keadaan mengalami perubahan secara drastik pada setiap hari dan ada masanya berlaku setiap jam.

Menyedari kepentingan itu, kerajaan mengenal pasti ekonomi digital sebagai antara bidang pertumbuhan ekonomi utama bagi mencapai komitmen memajukan Malaysia sebagai negara yang mempunyai pertumbuhan mampan selain memastikan pengagihan secara adil dan saksama dalam kalangan penduduk, etnik dan wilayah.

“Kita akan terus memacu janji kemakmuran bersama untuk semua dengan menumpukan usaha memperkasa rakyat menerusi kemahiran digital, pengupayaan perniagaan yang dijana secara digital serta melonjakkan pelaburan digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital Asean Pertama (ADGMIN1) dan mesyuarat lain berkaitan secara telesidang, hari ini.

Selain itu, perdana menteri juga percaya pandemik Covid-19 memberi lonjakan di luar jangka bagi membolehkan kalangan negara-negara anggota Asean mempercepatkan usaha digital masing-masing.

Malah, beliau berkata tidak dinafikan lagi Asean mencatat perkembangan dalam persekitaran digital walaupun tahapnya mungkin berbeza bagi setiap kawasan atau negara anggotanya.

“Sebagaimana anda semua sedia maklum, Pelan Tindakan Komuniti ASEAN 2025 (AEC 2025) memperakui kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pemacu utama dalam transformasi ekonomi dan sosial Asean.

“Ia jelas menyatakan AEC 2025 bermatlamat untuk melonjakkan Asean ke arah ekonomi berkeupayaan digital yang terjamin, mampan serta mampu mentransformasi serta seterusnya dapat memanfaatkan lagi ICT bagi mewujudkan Asean yang inovatif, inklusif dan saling berintegrasi,” katanya.

Muhyiddin juga mengingatkan kepentingan untuk menitikberatkan langkah strategik utama ICT yang digariskan dengan penekanan terhadap aspek pemusatan dan perpaduan bagi usaha memajukan Komuniti Asean dalam bidang keselamatan siber, perlindungan data peribadi, teknologi 5G dan menggalakkan inovasi serta e-dagang. – Bernama, 21 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen