203 kes baharu, Sarawak serta merta larang perhimpunan


Desmond Davidson

Kluster Pasai adalah yang terbesar dan paling aktif di Sarawak dengan penularannya dikesan sehingga ke Kuching. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2021.

SARAWAK telah mengarahkan larangan serta merta semua jenis perjumpaan sosial selepas negeri itu melaporkan 203 kes baharu Covid-19.

Jawatankuasa pengurusan bencana negeri berkata terdapat 120 kes baharu yang dilaporkan di Sibu di mana 78 kes dari kluster Pasai.

Kluster Pasai adalah yang terbesar dan paling aktif di Sarawak dengan penularannya dikesan sehingga ke Kuching.

Dua daripada 12 kes baharu yang dikesan di Kuching hari ini berkait dengan kluster Pasai.

Lapan dikesan di Betong, empat dari lima kes yang dikesan di Bintulu adalah dari kluster sama, ketiga-tiganya dikesan di Dalat dan satu kes di Kapit juga berkait dengan kluster itu.

Jawatankuasa bencana berkata, mereka telah mengarahkan jawatankuasa kecil mereka di peringkat bahagian dan daerah untuk memantau semua aktiviti kawasan masing-masing.

Sementara itu, daerah Kanowit di tebing Sungai Rajang juga berubah menjadi zon merah hari ini apabila 43 kes yang terkait dengan kelompok Pasai, dikesan.

Daerah ini melaporkan 73 jangkitan dalam 14 hari dengan kebanyakannya berkait dengan kluster Pasai.

Keadaan di daerah pesisir Dalat juga kian meruncing setelah berubah dari zon kuning ke oren dengan 22 kes dalam tempoh dua minggu.

Di kawasan lain, daerah Serian dan Pakan hilang status selamat kerana satu kes jangkitan lokal dilaporkan hari ini menjadikan kawasan itu berubah dari zon hijau ke zon kuning.

Jumlah daerah di zon merah meningkat kepada lima iaitu Kanowit, Beluru, Miri, Sibu dan Kuching.

Dua zon oren iaitu di Dalat dan Sebauh, manakala 18 zon kuning dan 15 zon hijau.

Menurut kod warna empat tahap oleh Kementerian Kesihatan, zon merah perlu dicapai jika mencapai 41 kes ke atas dalam tempoh dua minggu, oren (21-40), kuning (1-20) dan zon selamat iaitu hijau, tiada jangkitan langsung.

Pandemik ini telah menjangkiti 2,570 orang di Sarawak, memakan nyawa 21 daripada keseluruhan kes negeri. – 20 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen