MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamad yang disahkan positid Covid-19 masih dirawat di hospital kerana rawatan paru-paru yang diterimanya belum selesai.
Menerusi catatan di Facebook hari ini, ahli Parlimen Jeli itu bagaimanapun berkata kesihatan beliau bertambah baik sepanjang 11 hari menerima rawatan.
“Keadaan saya bertambah baik sikit tetapi doktor tidak benarkan pulang lagi kerana rawatan pada paru-paru masih belum selesai.
“Kandungan oksigen OK, tekanan darah OK, darah keseluruhan OK, makan pun OK walaupun selera belum 100%,” katanya.
Dalam pada itu Mustapa mengucapkan penghargaan kepada kakitangan Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan yang menjaganya.
Tidak ketinggalan kepada rakan, ahli keluarga dan rakyat Malaysia yang menghantar mesej dan tidak henti mendoakan kesihatannya.
Mustapa, yang juga dikenali sebagai Tok Pa, turut menggesa ahli politik sama ada kerajaan atau pembangkang akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong dalam usaha menyelamatkan nyawa rakyat semasa pandemik Covid-19.
“Kepada sahabat-sahabat dalam politik, sama ada kerajaan atau pembangkang, kurangkanlah politiking, kurangkanlah suhu politik.” – 20 Januari, 2021.
Komen