MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainudin kini dalam keadaan stabil selepas dijangkiti Covid-19 dan kini sedang dirawat, menurut kenyataan dikeluarkan pejabatnya.
Kenyataan itu dikeluarkan hari ini bagi menjawab spekulasi bahawa Hamzah kini dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.
“... (Hamzah) kini sedang menjalani rawatan dan kuarantin di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan tahap kesihatan beliau berada dalam keadaan yang stabil.”
Dakwaan yang muncul di media sosial hari ini juga mendakwa Hamzah kini memerlukan bantuan pernafasan.
Pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan dikategorikan sebagai pesakit tahap 5 yang kritikal.
Peluang untuk sembuh bagi pesakit tahap ini juga didapati lebih rendah berbanding pesakit Covid-19 yang hanya mengalami gejala ringan.
Hamzah disahkan positif Covid-19 pada 12 Januari dan menjadi menteri ketiga dari Bersatu yang disahkan dijangkiti virus pembunuh itu.
Dua lagi dari Bersatu yang dijangkiti ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.
Turut dijangkiti, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin dan Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohd Sadique dari Umno.
Pemimpin lain dari Umno yang disahkan positif termasuk dua Ahli Parlimen Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas). – 20 Januari, 2021.
Komen