PEGAWAI dan kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang menjadi kontak rapat Kategori B kepada Pengerusi Kumpulan Prasarana Tajuddin Abdul Rahman diarahkan mengambil ujian swab Covid-19, hari ini.
Prasarana dalam kenyataan memaklumkan saringan itu buat susulan Tajuddin disahkan positif wabak itu.
Menurut kenyataan itu, petugas yang tergolong dalam kontak rapat kategori C pula dikehendaki menjalani proses kuarantin kendiri di rumah serta-merta selama 10 hari sehingga 29 Januari atau sehingga individu Kategori B didapati negatif.
“Datuk Seri Tajuddin masuk ke pejabat pada pagi Isnin (18 Jan) untuk satu mesyuarat dengan beberapa pegawai kanan.
“Beliau juga hadir ke satu mesyuarat pada pagi semalam, namun terus ke hospital untuk ujian sejurus mengetahui Datuk Sri Nazri Aziz positif Covid-19,” demikian menurut kenyataan itu, di Kuala Lumpur hari ini
Susulan itu, seluruh ibu pejabat korporat Kumpulan Prasarana, di Menara UOA, Bangsar turut dilakukan pembersihan komprehensif “deep decontamination” dan sanitasi untuk pada petang Isnin.
Satu lagi proses sanitasi dan “deep decontamination” tambahan akan dijalankan hari ini berikutan perkembangan terbaharu itu, menurut kenyataan itu.
Prasarana turut memaklumkan pejabatnya beroperasi seperti biasa namun mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, melibatkan hanya 30% petugas daripada Bahagian Pengurusan dibenarkan hadir, manakala petugas lain diarahkan bekerja dari rumah sehingga tamat arahan Perintah Kawalan Pergerakan.
Tajuddin menerusi hantaran di Facebooknya hari ini memaklumkan, dirinya positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat kepada Nazri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas, yang sebelum ini disahkan positif wabak itu.
Kedua-dua mereka hadir dalam majlis sidang media oleh Nazri, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 11 Januari lepas. – Bernama, 20 Januari, 2021.
Komen