3,631 kes Covid-19 hari ini, jumlah kes aktif hampiri 40,000


Ravin Palanisamy

Petugas kesihatan membawa pesakit Covid-19 ke Hospital Kuala Lumpur menaiki ambulans untuk menerima rawatan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 Januari, 2021.

MALAYSIA merekodkan 3,631 kes positif Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes 165,371.

Hari ini merupakan hari ke enam negara merekodkan kes harian melebihi 3,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 3,624 adalah penularan tempatan dan 7 kes import. 

Selangor masih merekodkan jumlah kes tertinggi berbanding negeri lain dengan 1,199 kes baharu, diikui Sabah dengan 526 kes dan Kuala Lumpur 521 kes.  

“Daripada jumlah kes di Selangor, 884 atau 73.7% adalah kes dilaporkan dari kluster dan pengesanan kontak rapat,” kata Dr Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya hari ini. 

Ini menjadikan Selangor mencatatkan kes tertinggi untuk 12 hari berturut-turut.

Selangor setakat ini merekodkan 49,245 kes sejak permulaan pandemik, diikuti Sabah dengan 44,602 kes dan Kuala Lumpur dengan 18,898 kes. 

Sementara itu Malaysia hari ini turut merekodkan 2,944 kes pulih manakala jumlah kes aktif seluruh negara kini 38,464.

Daripada jumlah kes aktif, 238 dirawat di unit rawatan rapi dan 96 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

14 kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian di seluruh negara 619.

Separuh daripada kes kematian hari ini direkodkan di Selangor, dua di Johor dan satu masing-masing di Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak dan Labuan.

Sepuluh mangsa adalah lelaki dan empat lagi wanita. Kesemua mangsa mempunyai sejarah penyakit kronik.

Antara yang meninggal dunia adalah dua warga asing berusia 60 tahun.– 19 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen