PUTRAJAYA akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara sama ada membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi selepas jam 8 malam.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata beliau menerima banyak aduan dan cadangan daripada orang ramai yang mahu restoran dibuka selepas jam 8 malam.
“Kami akan membincangkan perkara itu. Sekiranya kami membenarkan restoran beroperasi selepas jam 8 malam, sektor lain juga akan meminta kami untuk membenarkannya dibuka selepas jam 8 malam,” katanya.
Isnin lalu kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – dari 13 hingga 26 Januari.
Beliau juga mengumumkan PKPB di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu sementara Perlis dan Sarawak yang mempunyai kes aktif Covid-19 paling sedikit pada masa ini dikenakan PKP Pemulihan.
Bagaimanapun hari ini Ismail Sabri berkata negeri-negeri di bawah PKPB dan PKPP kecuali Sarawak akan diletakkan di bawah PKP mulai 22 Januari (Jumaat) sehingga 4 Februari.
Di bawah PKP, restoran dan kedai makan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 8 malam. – 19 Januari, 2021.
Komen