HANYA sedikit inisiatif baharu daripada 22 yang disediakan dibawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion yang dimumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, kata pakar ekonomi.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie memberitahu The Malaysian Insight ini termasuklah bantuan Geran Khas Prihatin tambahan RM1,000 kepada peniaga dan penjaja di Sabah dan bantuan sekali beri RM500 untuk meringankan beban 14,000 pemandu pelancong serta 118 ribu pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.
Menurut Lee, kebanyakan inisiatif lain telah diumumkan kerajaan di bawah pakej rangsangan ini dan Belanjawan 2021.
“Sebilangannya adalah lanjutan pakej terdahulu. Hanya satu, dua sahaja yang baru. Saya fikir RM15 bilion ini lebih kepada peruntukan semula wang dalam kerajaan,” katanya.
Kenanga Research dalam makluman hari ini berkata hanya RM3.6 bilion daripada RM15 bilion yang diumumkan adalah untuk inisiatif baharu, manakala baki RM11.4 bilion untuk inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan rangsangan fiskal Covid-19 (Prihatin, Prihatin SME+, Penjana, Kita Prihatin, Permai) kepada RM308.6 bilion (21.7% daripada KDNK).
“Bagaimanapun, suntikan fiskal langsung kerajaan dianggarkan kekal pada RM55 bilion (3.9% daripada KDNK) kerana pakej rangsangan Permai akan dibiayai melalui peruntukan semula dana sedia ada dan perbelanjaan secara berhemat,” katanya.
Kenanga Research berkata meskipun langkah-langkah yang diumumkan kerajaan bertujuan untuk mengurangkan kesan ekonomi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saiz pakej rangsangan baharu itu agak kecil jika dibandingkan dengan kesan sekatan pergerakan.
Suntikan rangsangan yang lebih besar diperlukan sekiranya kerajaan bercadang untuk melanjutkan lagi tempoh PKP.
Muhyiddin semalam mengumumkan 22 inisiatif di bawah Permai untuk mengurangkan beban rakyat dan kesan ke atas ekonomi semasa pandemik Covid-19.
Tahun lalu kerajaan memperuntukkan RM305 bilion untuk pakej Prihatin, Prihatin SME+, Penjana dan Kita Prihatin.
Ditanya sama ada RM15 bilion di bawah Permai mencukupi, Lee berkata kerajaan tidak perlu mengeluarkan lebih banyak dana kerana semua inisiatif yang diumumkan sebelum ini telah meliputi keperluan rakyat dan perniagaan.
Malah sekatan ke atas operasi perniagaan semasa PKP kali ini tidaklah seketat tahun lalu, tambah beliau. – 19 Januari, 2021.
Komen