PENJUAL di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang mempunyai “Plan B” sekiranya pasar ditutup buat sementara waktu oleh pihak berkuasa susulan peningkatan jumlah kes Covid-19 di kawasan berkenaan.
Mereka merancang untuk berjumpa pelanggan mereka di luar kawasan pasar agar rantaian bekalan ke pasar besar, restoran dan peniaga dari pasar kecil di Lembah Klang tidak putus.
Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt berkata sekiranya mereka terpaksa menghentikan operasi di pasar, penjual akan menghantar atau menyimpan barangan mereka di luar premis.
“Sayur-sayuran kami dijual pada hari sama apabila stok sampai. Buah-buahan dan sayur-sayuran sedikit berbeza. Ikan dan buah-buahan boleh dibekukan untuk tahan lama tetapi produk yang mudah rosak tidak boleh.
“Jadi kita membincangkan rancangan lain, kita perlu berurusan dengan pelanggan di luar pasar,” katanya.
Dia berkata apabila pasar awam terpaksa ditutup, rantaian bekalan pasti akan terjejas.
Wong berkata pelanggan pasar raya besar akan memerlukan barangan mereka oleh itu peniaga perlu mencari jalan untuk terus membekalkannya.
Presiden Persatuan Pemborong Buah-Buahan Kuala Lumpur Chin Nyuk Moy berkata bahawa ramai pemborong buah terjejas disebabkan penularan wabak di pasar awam.
Penjual buah berkenaan berdepan masalah barangan mereka terkandas di pelabuhan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.
“Buah limau mandarin sudah tiba di pelabuhan. Buah berkenaan tidak boleh dihantar jika pasar ditutup,” katanya.
Nyuk Moy berkata kebanyakan pemborong sudah merancang untuk menghantar buag mereka ke luar pasar atau memasukkan buah-buahan yang diimport ke dalam peti sejuk.
“Tetapi masih terlalu awal untuk menghantar barang Tahun Baharu Cina,” katanya.
Penjual buah kini mengambil langkah tunggu dan lihat serta semua perancangan tertakluk kepada hasil pemeriksaan Covid-19, kata Chin.
Semalam dilaporkan lebih 90 penjual dan pekerja di pasar borong disahkan positif Covid-19 selepas menjalani saringan pada hujung minggu.
Lebih 2,000 individu lain sedang diperiksa dan bakal mendapat keputusan esok.
Chin berkata pengendali tempatan sering mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan terkejut apabila banyak kes Covid-19 dalam kalangan penjual ikan.
Rundingan awal antara Dewan Perniagaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur adalah jika jumlah kes Covid-19 disahkan tinggi, pasar borong akan ditutup selama tiga hari mulai Khamis ini (21 Januari) untuk kerja sanitasi.
Pihak berkuasa juga sudah memanggil semua peniaga, pekerja pasar dan pekerja penghantaran untuk melakukan saringan.
“Pelanggan dan pemandu lori serta pembantu juga disaring,” katanya. – 19 Januari, 2021.
Komen