KEDIAMAN musnah sama sekali, jalan masuk ke kampung rosak dan kekurangan bekalan makanan adalah tiga masalah utama dihadapi Orang Asli yang terperangkap dalam banjir baru-baru ini yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.
Pengarah Eksekutif Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Dr Colin Nicholas memberitahu The Malaysian Insight terdapat keperluan mendesak untuk memperbaiki infrastruktur di perkampungan Orang Asli kerana banyak kemudahan mengalami kerosakan akibat banjir.
“Terdapat tiga masalah utama yang dihadapi Orang Asli - rumah rosak, terputus dari dunia luar kerana jalan rosak teruk dan kesukaran menerima bekalan makanan,” kata Nicholas.
“Memastikan bekalan makanan sampai kepada mereka adalah rancangan sementara dan jangka pendek tetapi infrastruktur perlu diperbaiki dengan segera.
“Di Gua Musang dan Kuala Krai (Kelantan), Temerloh (Pahang), Ulu Behrang (Selangor) dan beberapa bahagian di Johor, jalan raya terjejas teruk akibat banjir,” kata Nicholas.
Hampir 50,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak dan Johor semasa banjir.
Presiden Kumpulan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) menyukarkan pekerja bantuan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir terutama Orang Asli.
“Organisasi saya dibenarkan membantu mangsa tetapi tidak dibenarkan masuk ke Kelantan. Makanan ada dan banyak kumpulan menghantar bantuan kepada mangsa tetapi kami memerlukan lebih banyak.
“Dari apa yang saya lihat, bukan hanya Orang Asli tetapi banyak kampung Melayu juga dilanda banjir teruk di Raub, Maran, Jengka, Jerantut dan Kuantan di Pahang.
“Mereka hilang tempat tinggal, barang peribadi dan hampir semua benda. PKP menghalang pergerakan kami untuk membantu mereka yang memerlukan,” kata aktivis veteran itu.

Nicholas dan Sabrina bersetuju yang penebangan hutan memperburukkan lagi keadaan, dengan berkata Putrajaya tidak mengambil pengajaran daripada kejadian banjir sebelum ini.
“Kerajaan tidak belajar daripada kejadian sebelum ini. Mereka membiarkan pembalakan dan penebangan hutan tidak terkawal berlaku selama bertahun-tahun dan setiap tahun kita akan menyaksikan banjir merosakkan kediaman dan bahkan menyebabkan kematian.”
Aktivis Tijah Yok Chopil daripada Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia menggesa kerajaan membenarkan lebih ramai pekerja bantuan memasuki kampung yang terjejas oleh banjir.
“Pada masa seperti ini, malah saya sendiri tidak dapat bergerak untuk melihat apa yang berlaku di kalangan komuniti. Saya bergantung kepada Facebook untuk mengetahui apa yang berlaku.
“Saya tahu bekalan dihantar. Saya melihat gambar orang dan kumpulan masyarakat awam menghantar makanan kepada mangsa dan daripada apa yang saya dengar, Orang Asli mendapat bekalan mencukupi tetapi saya tidak pasti mengenai kerosakan rumah mereka,” katanya.
Bernama melaporkan Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata yang pembalakan dan perubahan penggunaan tanah hutan boleh meningkatkan kejadian bencana alam.
Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan itu berkata hutan berperanan mengawal masalah banjir secara berkesan dengan menutup permukaan tanah daripada hakisan akibat hujan serta menampung dan memperlahankan laluan air hujan ke sungai dan sungai.
Menurut Haliza, dengan pembangunan tidak terkawal, termasuk penebangan hutan secara besar-besaran, ia akan menyebabkan air hujan mengalir lebih cepat.
“Ini kerana antara fungsi hutan adalah menampung atau menahan aliran air hujan ke sungai. Tetapi, dengan pembangunan yang melibatkan penebangan hutan, ia akan mengganggu proses semula jadi aliran air dan menyebabkan lokasi di hiliran mendapat jumlah air yang besar, sehingga menyebabkan banjir,” katanya. – 19 Januari, 2021.
Komen