PAKEJ rangsangan ekonomi terbaharu Putrajaya tidak banyak menawarkan bantuan untuk industri pelancongan dan perhotelan, yang masih bergelut untuk pulih akibat wabak Covid-19 dan sekatan, kata Yap Lip Seng.
Ketua Pengarah Eksekutif Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) berkata program subsidi gaji yang lebih tinggi sangat diperlukan untuk memastikan perniagaan hotel dan pelancongan terus bertahan.
Ini kerana tanpanya, lebih banyak pekerja lagi yang terpaksa diberhentikan.
“Pengumuman perdana menteri, yang sekarang kita kenali sebagai ‘Permai’, amat diharapkan oleh industri, selepas sekali lagi diletakkan di bawah PKP (perintah kawalan pergerakan), melumpuhkan industri pelancongan sekali lagi.
“Selepas kehilangan hampir semua aliran pendapatan, industri hotel menantikan bantuan langsung, seperti subsidi upah lebih tinggi, pemotongan bil elektrik dan air lebih tinggi dan bahkan kelonggaran penilaian.
“Bagaimanapun, pengumuman sekali lagi tidak memenuhi harapan industri. Selain diskaun 10% bagi elektrik, dan hanya dari Januari hingga Mac 2021, tiada bantuan lain diberikan kepada industri perhotelan. Moratorium pinjaman sekali lagi diserahkan kepada bank dan institusi kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pakej rangsangan ekonomi kelima berjumlah RM15 bilion, ketika sebahagian besar negara memasuki minggu kedua sekatan pergerakan yang ketat.
Muhyiddin berkata akan ada 22 inisiatif dilaksanakan di bawah pakej rangsangan ekonomi Permai.
Melaluinya, kerajaan bertujuan untuk memerangi pandemik Covid-19, bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan.
Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM305 bilion melalui pakej Prihatin, Prihatin SME plus, Penjana dan Kita Prihatin.
Yap berkata MAH telah berulang kali mencadangkan subsidi upah 50% bagi mereka yang berpendapatan hingga RM4,000 dan 30% untuk bagi yang bergaji RM8,000 agar majikan dapat mengekalkan mereka tetapi cadangan itu tidak didengari.
“Sayangnya industri pelancongan diabaikan lagi meskipun sudah memberikan sumbangan terhadap ekonomi negara, dan dibiarkan runtuh.
“Malaysia akan terus kehilangan daya saing dan juga bakat, dan seiring dengan itu, kemampuannya untuk pulih. Tanpa arah yang jelas dan rancangan ke depan untuk industri pelancongan, hanya ada sedikit harapan untuk ia bertahan,” katanya. – 18 Januari, 2021.
Komen