Program vaksinasi Covid-19 berjalan lancar, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Kumpulan penerima vaksin pertama dijangka menerima suntikan pada Mac. – Gambar EPA, 18 Januari, 2021.

PROGRAM vaksinasi Covid-19 berada di landasan yang betul dengan kumpulan penerima vaksin pertama dijangka menerima suntikan pada Mac, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin, dan dijangka menerima bekalan vaksin yang pertama pada penghujung bulan Februari nanti,” katanya dalam pengumuman khas pakej rangsangan ekonomi, Permai.

“Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang telah ditubuhkan, kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan akan diberi perhatian utama,” tambahnya.

Garis panduan dan prosedur berkaitan dengan pemberian vaksin akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Realistiknya, program vaksinasi ini dijangka berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan,” katanya.

Putrajaya mensasarkan untuk mengimunisasi kira-kira 80% penduduk atau 27 juta orang menjelang suku pertama 2022.

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM3 bilion bagi perolehan vaksin Covid-19.

“Saya juga ingin berkongsi bahawa Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah memutuskan hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus, dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan,” katanya.

Menentukan kemaslahatan komuniti bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak, tambahnya.

Muhyiddin juga mengumumkan hospital swasta sudah bersetuju menerima dan merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 untuk membantu meringankan beban sistem kesihatan awam.

Oleh itu, Putrajaya akan menyalurkan RM100 juta untuk inisiatif ini. – 18 Januari, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen