Hospital swasta bakal terima pesakit Covid-19, kata KP Kesihatan 


Ragananthini Vethasalam

Sebahagian pesakit Covid-19 yang ditempatkan di PKRC di Maeps, Serdang untuk menerima rawatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Januari, 2021.

HOSPITAL swasta akan dibenarkan merawat pesakit Covid-19 yang kurang teruk dalam Kategori 1,2 dan 3, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, hospital swasta boleh menerima kes seperti itu tanpa merujuk pesakit kepada kemudahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini adalah antara persetujuan yang dibuat antara Putrajaya dengan hospital swasta susulan perbincangan peringkat tertinggi pada Sabtu.

Terdapat lima kategori jangkitan Covid-19: Kategori 1 adalah kes positif tanpa gejala, 2 adalah kes positif dengan gejala ringan, 3 adalah kes positif dengan radang paru-paru (pneumonia), 4 adalah kes radang paru-paru yang memerlukan oksigen dan 5 bagi kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Kami akan mengkaji kemampuan hospital swasta menguruskan pesakit Kategori 1,2 dan 3 di hospital swasta, berbanding di PKRC (pusat rawatan berisiko rendah dan kuarantin) atau Maeps (Taman Pertanian Agro Malaysia di Serdang),” katanya.

Ini termasuklah pesakit daripada kalangan ekspatriat dan mereka yang berada dalam komuniti perniagaan.

Noor Hisham berkata KKM juga akan terus menghantar pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta.

“Kami akan mengumumkan aturan, kerangka kerja dan proses kerja tidak lama lagi,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan memindahkan pesakit ke hospital swasta akan mengurangkan tekanan dan bebanan terhadap hospital awam serta pekerja kesihatan.

“Sebagai permulaan, menteri kewangan, ketua pengarah kesihatan dan pegawai kanan kerajaan lainnya sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan kanan hospital swasta, yang dimiliki oleh GLC (syarikat berkaitan kerajaan), untuk memulai inisiatif pemindahan,” Muhyiddin kata dalam satu kenyataan.

Muhyiddin juga berkata Noor Hisham mengadakan perbincangan lain semalam dengan pengurusan kanan hospital swasta lain melalui panggilan video dan dihadiri oleh hampir 400 pihak untuk memulakan melaksanakan inisiatif tersebut.

“Saya terharu dengan sokongan yang kami terima daripada hospital swasta,” tambah perdana menteri.

Muhyiddin mengumumkan keadaan darurat minggu lalu yang membolehkan sektor penjagaan kesihatan swasta bekerjasama untuk bersama memerangi wabak Covid-19.

“Dalam konteks ini, beberapa peraturan darurat dapat menangani masalah seperti penggunaan hospital swasta, pengambilan sementara tanah, bangunan dan harta benda lain yang dimiliki oleh hospital swasta atau meminta penggunaan sumber hospital swasta untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya semasa membuat pengumuman. – 18 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen