Pendapatan kurang, persaingan penghantar makanan makin sengit


Alfian Z.M. Tahir

Penambahan individu menyertai perkhidmatan e-hailing selari dengan peningkatan kadar pengangguran kepada 5.3% pada Mei, berbanding 3.9% pada Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2021.

PERNIAGAAN makanan agak perlahan untuk penghantar kerana jumlah mereka yang beralih menjadi penghantar semakin bertambah setiap hari, terutama selepas penguatkuasaan sekali lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) di enam negeri.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, penghantar makanan daripada Food Panda dan Grab Food berkata pendapatan mereka lebih tinggi sebelum PKP dikuatkuasakan, dan menggesa kerajaan memanjangkan waktu operasi restoran.

“Perniagaan perlahan sejak PKP dikuatkuasakan. Seminggu sebelum itu, keadaan lebih baik untuk saya,” kata Zulfadli, penghantar Grab Food dari Gombak.

“Saya fikir kerana jumlah penghantar semakin ramai. Jadi, persaingan sengit dan waktu operasi restoran juga hanya sampai 8 malam. Tempahan terakhir untuk kami ialah antara 7 hingga 7.30 malam.”

Zulfadli berkata biasanya beliau memperoleh RM100 sehari sebelum PKP dikuatkuasakan sekali lagi, sejak mingu lalu.

Katanya, perniagaan pada PKP Mac lalu lebih baik berbanding ketika PKP kedua.

“Sejak beberapa hari PKP ini, saya hanya dapat pendapatan bersih RM40 hingga RM50 sehari. Separuh daripada pendapatan ketika sebelum PKP.

“Saya tidak tahu kenapa kali ini tidak seperti PKP sebelumnya. Jika kerajaan dapat lanjutkan waktu operasi restoran hingga 10 malam, kami sangat menghargainya.”

Di bawah PKP terbaru, restoran hanya dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam, bagi perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran saja.

Kerajaan mengumumkan PKP di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – dari 13 hingga 26 Januari bagi menghentikan lonjakan kes Covid-19.

Kelantan juga kemudian dikenakan PKP atas sebab sama.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga mengisytiharkan darurat di negara ini hingga 1 Ogos bagi membendung peningkatan jumlah jangkitan Covid-19.

Grab Malaysia dan Food Panda menambah hampir 30,000 penghantar dan pemandu baharu ketika PKP iaitu bagi tempoh Mac hingga Jun tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2021.

Seorang penghantar Food Panda di Pulau Pinang yang dikenali sebagai Omar, berkata kebanyakan penghantar separuh masa kini beralih kepada sepenuh masa.

“Mereka yang sebelum ini kerja separuh masa kini menjadikan kerja penghantar sebagai sepenuh masa selepas kehilangan kerja tetap. Mungkin banyak kilang tutup sekarang.

“Tempahan seperti biasa, cuma persaingan semakin kuat, tetapi ia bukanlah dalam cara yang tidak baik. Kita perlu berkongsi dengan orang lain, kerana semua orang terjejas akibat pandemik ini.

“Saya setuju jika kerajaan boleh lanjutkan waktu operasi untuk restoran,” katanya yang bekerja sebagai penghantar sejak setahun lalu.

Persaingan lebih besar

Sementara itu, Ijam, seorang penghantar Grab Food berkata kepada The Malaysia Insight pendapatannya hanya RM70 sehari sepanjang PKP.

Beliau sebelum ini pemandu Grab tetapi mula menghantar makanan apabila tidak mendapat tempahan penumpang.

“Kalau memandu Grab boleh dapat RM150 sehari. Tetapi apabila PKP, tidak ada sesiap menggunakan perkhidmatan Grab. Jadi saya terpaksa menghantar makanan.

“Oleh kerana Grab beri keutamaan kepada penunggang motosikal, saya hanya dapat RM70 sehari kerana saya pandu kereta untuk hantar makanan. Saya rasa keadaan agak perlahan walaupun untuk penunggang motosikal. Keadaan sangat mencabar.

“Tidak seperti sebelum PKP, pendapatan masih baik, sekurang-kurangnya untuk saya,” katanya.

Bagi Sugumaran, penghantar Food Panda di Shah Alam, beliau berharap kerajaan dapat membenarkan operasi restoran hingga tengah malam bagi membolehkan penghantar makanan mendapat wang tambahan ketika PKP.

Katanya, di Shah Alam dengan populasi yang tinggi, penghantar makanan terpaksa tunggu giliran untuk mendapat tempahan.

“Ramai yang kini menjadi penghantar makanan kerana ia antara cara mudah mendapatkan wang tetapi bila terlalu ramai penghantar, persaingan jadi besar.

“Berapa ramai yang boleh bangun 6 pagi dan berapa ramai pula pelanggan mula buat tempahan pada 6 pagi? Sekurang-kurangnya 10 pagi baru orang ramai mula menempah makanan di Food Panda atau Grab Food.

“Saya percaya ramai orang, terutama rakyat Malaysia, suka makan pada waktu malam. Kenapa tidak benarkan kami hantar makanan hingga tengah malam,” katanya.

Grab Malaysia dan Food Panda menambah hampir 30,000 penghantar dan pemandu baharu ketika PKP iaitu bagi tempoh Mac hingga Jun tahun lalu.

Penambahan individu menyertai perkhidmatan e-hailing itu selari dengan peningkatan kadar pengangguran kepada 5.3% pada Mei, berbanding 3.9% pada Mac.

Menurut Jabatan Statistik, lebih 826,000 menganggur apabila PKP berakhir pada 12 Mei.

Syarikat penghantaran makanan Food Panda menyaksikan penambahan jumlah penghantar dua kali ganda antara Mac dan Julai berbanding bulan-bulan sebelumnya. – 20 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen