PERISYTIHARAN darurat dan ordinan yang menyusul mesti dibentangkan di Parlimen secepat mungkin, kata 10 peguam kanan yang pernah menerajui Badan Peguam Malaysia.
Kegagalan pentadbiran Muhyiddin Yassin berbuat demikian sangat membimbangkan kerana ia mengancam amalan demokrasi Malaysia sejak Merdeka, kata mereka.
“Sangat membimbangkan kerana kerajaan menunjukkan contoh yang bahaya apabila menggunakan perisytiharan itu tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Perlembagaan.
“Ini tidak dapat diterima bagi sebuah negara yang dibangunkan atas prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang.
“Kedua-dua Perisytiharan Darurat dan Ordinan Darurat perlu dibentangkan di Parlimen, secepat mungkin,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Mereka yang mengeluarkan kenyataan itu ialah Param Cumaraswamy, Zainur Zakaria, Dr. Cyrus V. Das, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Christopher Leong dan Steven Thiru.
Mereka menyifatkan langkah meletakkan negara di bawah perintah darurat sebagai “keterlaluan”.
Menurut 10 peguam kanan ini perisytiharan darurat berkuat kuasa 11 Januari lepas tidak memenuhi syarat asas iaitu hanya boleh diisytiharkan sekiranya wujud keadaan yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam.
“Ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana ia anti demokrasi dan mengantung kedaulatan undang-undang.
“Perisytiharan ini menghumban negara ke jurang undang-undang yang memusatkan semua kuasa pada Eksekutif,” kata mereka.
Menurut mereka, kerajaan yang bertanggungjawab hanya akan menggunakan perisytiharan darurat dalam keadaan yang sangat luar biasa.
Mereka berpendapat pandemik Covid-19 bukan alasan yang sah kerana masih ada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang boleh mengenakan sekatan pergerakan dan pada masa sama membenarkan sektor perniagaan beroperasi biarpun dengan kekangan.
Dua hari selepas mengisytiharkan darurat, Yang di-Pertuan Agong memasyhurkan warta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, yang menggariskan kuasa-kuasa yang diberi dan ditarik sementara sepanjang pelaksanaan perintah darurat sehingga 1 Ogos 2021.
Kumpulan 10 peguam kanan itu juga menyuarakan kebimbangan terhadap ordinan itu, yang antara lain memberi imuniti kepada kerajaan dan pegawainya daripada tindakan undang-undang serta kuasa untuk mengambil alih tanah, bangunan dan aset dengan pampasan yang tidak boleh dipersoal.
Ordinan itu juga memberikan kepada pihak tentera kuasa yang selama ini ada pada pihak polis, selain menggantung Parlimen dan dewan undangan negeri.
“Semua ini mengasingkan pihak eksekutif daripada mengambil tanggungjawab,” kata mereka.
Atas alasan itulah, mereka mahu perisytiharan darurat dan ordinan yang menyusulnya dibentangkan di Parlimen untuk diteliti dan diputuskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Kata mereka, peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menyebut proklamsi dan ordinan darurat perlu dibawa ke Parlimen adalah jaminan bahawa Parlimen terus berfungsi biarpun darurat berjalan.
“Ordinan (yang diwartakan) menghalang Parlimen daripada menjalankan kuasanya di bawah perlembagaan untuk semak dan imbang.
“Ia merampas demokrasi kita,” kata mereka.
Mereka hairan bagaimana Parlimen digantung tetapi perniagaan lain boleh dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Seorang peguam kanan Gopal Sri Ram, yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun dipetik media berkata perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong memenuhi syarat mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Selasa berkata perisytiharan darurat di seluruh negara bukan satu rampasan kuasa tetapi hanya darurat pentadbiran untuk meningkatkan penguatkuasaan keselamatan menangani Covid-19. – 17 Januari, 2021.
Komen