Namakan calon perdana menteri Umno, kata kelab naib ketua pemuda


Mohd Farhan Darwis

Menurut Ketua Biro Politik dan Hal Ehwal Semasa Kagum Mohd Hafiz Abd Rahman Umno mampu membersihkan imej parti di mata rakyat, terutamanya golongan anak muda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2021.

UMNO perlu menamakan calon perdana menteri dan timbalannya sendiri dari kalangan pucuk pimpinan tertinggi parti yang bersih dan bebas daripada sebarang pendakwaan jenayah di mahkamah, kata Kelab Jaringan Naib Ketua Pemuda Umno (Kagum).

Hanya dengan cara itu Umno mampu membersihkan imej parti di mata rakyat, terutamanya golongan anak muda untuk mendekati mereka, kata ketua Biro Politik dan Hal Ehwal Semasa Kagum Mohd Hafiz Abd Rahman.

“Kita nak buka ruang kepada rakyat lihat gabungan kita bersih, kita tak nak pemimpin yang ada masalah mahkamah memimpin kita.

“Kiita nak tarik anak muda tapi kita bebankan mereka untuk menjawab permasalahan lama, sebab itu anak muda kurang nak bersama Umno,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Mohd Hafiz yang juga naib ketua pemuda Umno Shah Alam berkata, cadangan itu adalah saranan akar umbi dari golongan belia dan dibangkitkan untuk pertimbangan pucuk pimpinan.

“Sekurang-kurangnya desakan ini kita nak naikkan pemimpin bersih, memudahkan kerja kami untuk mengajak anak muda bersama kami.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno kena bincang cadangan kami. Ini hasil perbincangan kami dengan ahli Umno dan anak muda di kawasan masing-masing,” jelasnya.

Mohd Hafiz menjelaskan kepada The Malaysian Insight kenyataan media yang dikeluarkan Kagum hari ini, yang meminta Umno segera menamakan calon perdana menteri dan bukannya mendesak pilihan raya umum segera.

Dalam kenyataannya, Mohd Hafiz berkata keadaan semasa menunjukkan Ahmad Zahid Hamidi bukan lagi calon yang sesuai untuk jawatan perdana menteri walaupun secara tradisinya calon jawatan itu adalah presiden Umno.

“Secara tradisinya jika Umno perlu ke pilihan raya, presiden ialah calon perdana menteri namun tiada satu pun dapatan kajian mahupun permintaan akar umbi yang ingin mengetengahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon perdana menteri alternatif yang diyakini rakyat.  

“Sewajarnya, tradisi di mana presiden adalah perdana menteri perlulah diubah sekiranya MKT berpandangan, tampuk kepimpinan sedia ada Umno tidak mempunyai keupayaan dan mampu diangkat sebagai perdana menteri mahupun timbalan perdana menteri,” katanya.

Ahmad Zahid  kini berdepan 47 tuduhan jenayah melibatkan kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Mohd Hafiz berkata, tiada guna untuk MKT Umno mendesak menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 tanpa menamakan calon pemimpin mereka.

“Sekiranya MKT tidak mencalonkan presiden sebagai calon perdana menteri Umno dan juga tidak mengemukakan pelan alternatif pemulihan ekonomi pasca Covid-19, maka sebarang desakan untuk pilihanraya umum adalah tidak munasabah,” katanya lagi.

Tambahnya, Umno juga perlu diberi nafas baru untuk berupaya mengemudi kerajaan dan menghentikan kekeliruan yang timbul.

“Umno perlu diberi nafas baharu dan ia tidak perlu tunggu sehingga musim pemilihan. 

“Jika Umno ingin kembali menjadi peneraju sesebuah kerajaan, kita perlu menamakan calon perdana menteri kita. Rakyat inginkan kepastian bukan kekeliruan,” kata Mohd Hafiz lagi. – 16 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen