Top Glove sahkan kes Covid-19 dikesan di empat premisnya


Kontak utama semua pekerja positif Covid-19 dalam 14 hari terakhir telah dikenal pasti, mereka menjalani kuarantin dan dijadualkan menjalani ujian berikutnya sebelum mereka dibenarkan kembali bekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2021.

SYARIKAT pengeluaran sarung tangan terbesar di dunia, Top Glove Corp Bhd hari ini mengesahkan penularan wabak Covid-19 di empat premisnya.

“Top Glove melaporkan bahawa beberapa pekerja kami di empat kilang kami baru-baru ini menunjukkan gejala positif virus Covid-19,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ia menambah bahawa semua pekerja di kemudahan Port Dickson telah menjalani pemeriksaan pada 14 Januari, dan pekerja yang terjejas kini berada sedang menjalani kuarantin.

“Pekerja asing yang berada di bawah kuarantin berada di tempat kuarantin yang ditetapkan, sementara kakitangan warga Malaysia menjalani kuarantin di rumah,” katanya.

Kumpulan itu juga menyusun operasi pemeriksaan besar-besaran di kilangnya di Sungai Puloh, Klang.

“Untuk dua kemudahan lain di mana terdapat beberapa kes, di Kulim dan di Shah Alam, usaha kenal pasti kontak rapat dan pemeriksaan sedang dilakukan terhadap semua pekerja baik yang menunjukkan gejala atau tidak,” katanya.

“Semua kos yang berkaitan, baik pekerja asing dan tempatan, akan ditanggung oleh Top Glove,” tambahnya.
 
Kontak utama semua pekerja positif dalam 14 hari terakhir telah dikenal pasti, mereka menjalani kuarantin dan dijadualkan menjalani ujian berikutnya sebelum mereka dibenarkan kembali bekerja.

Semua kawasan termasuk tempat tinggal pekerja dan kenderaan syarikat turut menjalani operasi disinfeksi.

“Kami ingin meyakinkan pihak berkepentingan kami bahawa kami melakukan yang terbaik bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja kami dan seterusnya membendung penularan Covid-19.

“Top Glove menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan pekerjan adalah keutamaan kami,” kata syarikat itu lagi. – 16 Januari, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen