Kedai cermin mata buka, taman awam buka, restoran macam mana?


The Malaysian Insight

Barangkali negara ini saja unik kerana tidak bersungguh-sungguh merancang lebih awal dan tidak menggunakan otak. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Januari, 2021.

MALAYSIA sudah menjalani pelbagai bentuk sekatan untuk mencegah penularan Covid-19 sejak 10 bulan lalu. Oleh itu, munasabahlah kalau kita mengharapkan ada logik dan timbang rasa mengenai apa yang boleh dibuka dan apa yang sepatutnya ditutup sepenuhnya.

Apabila Putrajaya membayangkan perintah kawalan pergerakan yang pertama kali dikenakan pada Mac 2020 akan dilaksanakan semula, ia juga membayangkan semua tatacara operasi sudah difikir dan diputuskan.

Bagaimanapun kerajaan mengambil masa beberapa hari untuk mengumumkan pelaksanaan semula PKP dan kemudian sehari suntuk pula untuk mengeluarkan peraturan-peraturannya hanya beberapa minit sebelum ia berkuat kuasa.

Sebaliknya, kerajaan tidak mengambil masa yang lama untuk memohon dan mendapatkan perintah darurat dilaksanakan ke atas seluruh negara. Atau, untuk mewartakan ordinan yang melindungi kerajaan dan pegawainya daripada tindakan undang-undang sepanjang tempoh perintah darurat berjalan sehingga 1 Ogos ini.

Apakah yang menjadi keutamaan sebenarnya?

Dalam hal ini, rakyat mendesak dan kemudiannya dimaklumkan bahawa kedai cermin mata dan taman awam kini dibuka, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).

Kedai emas malah kedai perabot IKEA pun dibenarkan dibuka sejak hari pertama, begitu juga pasar raya tetapi dengan jumlah pelanggan yang terhad.

Jadi, apa alasan untuk semua restoran dan warung makan dibenarkan berniaga sehingga pukul 8 malam dan tidak boleh makan di tempat?

Adakah pihak berkuasa dan juak-juaknya yang menyusun senarai dan peraturan mengenai tempat makan sedang mengawal makan atau tidak makan selepas waktu yang ditetapkan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP?

Boleh jadi sebab mereka kerja ikut waktu yang tetap dan boleh dapat makanan sebelum pukul 8 malam. Tetapi macam mana dengan petugas barisan hadapan yang bekerja siang dan malam, yang sudah terlalu penat untuk memasak apabila balik ke rumah menjelang tengah malam, ataupun selepas pukul 8 malam?

Waktu itu, sudah tidak ada kedai makan dibuka. Kalau sekali pun mereka pesan makanan sebelum kedai makan tutup, ia nanti sudah sejuk dan tidak ramai mahu  atau ada ketuhar gelombang mikro untuk memanaskannya.

Kedai serbaneka pun tutup awal.

Jadi kenapa pihak berkuasa tidak membenarkan pelanggan makan di tempat? Tidak bolehkah berfikir dengan kreatif dan membenarkan seorang sahaja di setiap meja dan meja diatur pada jarak dua meter, di kawasan PKP?

Pihak berkuasa ada 10 bulan untuk merancang. Boleh saja tengok contoh amalan baik di serata dunia dan pinjam untuk dilaksanakan di Malaysia.

Bukan negara ini saja sedang dilanda pandemik. Barangkali negara ini saja unik kerana tidak bersungguh-sungguh merancang lebih awal dan tidak menggunakan otak. – 16 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen