KUASA eksekutif ketua menteri dan exco kekal di bawah Perintah Darurat, kata Chow Kon Yeow.
Ketua Menteri Pulau Pinang berkata hal ini didedahkan semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara hari ini berkenaan situasi Darurat ketika ini.
“Namun, dewan undangan negeri tidak boleh bersidang sehingga waktu yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Sultan di setiap negeri atau Gabenor,” kata Chow dalam satu kenyataan hari ini selepas pertemuan itu.
Chow berkata bahawa kuasa yang dimiliki perdana menteri ketika ini adalah untuk menguruskan Covid-19 dengan lebih baik.
Katanya lagi, orang ramai tidak mahu melihat tindakan yang boleh merosakkan demokrasi berparlimen di negara ini.
“Darurat juga harus digunakan untuk meninjau strategi dan pendekatan yang digunakan selama ini dalam memerangi virus Covid-19,” katanya.
Pada hari Selasa, Muhyiddin Yassin berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju dengan pengisytiharan Darurat oleh Putrajaya dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 hingga 1 Ogos.
Beliau mengumumkan bahawa Parlimen akan ditangguhkan sepanjang tempoh ini.
Sebelum pengumuman Muhyiddin, Datuk Pengelola Bijaya Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata bahawa Agong bersetuju dengan untuk memperkenan Perintah Darurat ekoran peningkatan kes Covid-19 hingga empat digit setiap hari, sehingga mendorong sektor kesihatan menanggung beban besar. – 16 Januari, 2021.
Komen