ITALI sudah memberikan lebih 1 juta vaksin koronavirus kepada raknyatnya, kata Perdana Menteri Giuseppe Conte pada Jumaat sejurus selepas pengumuman lanjutan sekatan anti-Covid-19 di negara itu.
“Terima kasih kepada warga dan perkhidmatan kesihatan nasional kami atas sambutan luar biasa,” tulis Conte di Facebook.
“Itali negara pertama di Kesatuan Eropah dalam jumlah mereka yang diberi vaksin. Statistik yang menggembirakan,” tulisnya.
Pada awal pagi Jumaat, Menteri Kesihatan Roberto Speranza menandatangani dekri baru yang menempatkan tiga wilayah dalam keadaan hampir dikenakan langkah pengurungan.
Dianggap sebagai zon merah, hanya pasar raya, farmasi dan kedai lain yang menjual keperluan asas yang dibenarkan untuk dibuka.
Kawasan lain yang dianggap sebagai zon oren atau kuning mempunyai sekatan yang lebih longgar.
Pada Khamis, laporan daripada suruhanjaya krisis koronavirus kerajaan menunjukkan Itali sudah memberikan 903,883 vaksin, berbanding Jerman sebanyak 758,093 dan Sepanyol dengan 581,638. – AFP, 16 Januari, 2021.
Komen