Jumlah kematian global Covid-19 lepasi angka 2 juta


Syarikat gergasi farmasi AS Pfizer berkata penghantaran vaksinnya akan perlahan pada akhir Januari yang akan memberi kesan kepada kempen baharu imunisasi terhadap virus Covid-19. – Gambar EPA, 16 Januari, 2021.

ANGKA kematian global dari Covid-19 melampaui 2 juta pada Jumaat, dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak pemberian vaksinasi besar-besaran dibuat ketika pandemik semakin menular dengan cepat.

Sehingga 1825 GMT pada Jumaat, sekurang-kurangnya 2,000,066 orang di seluruh dunia disahkan meninggal dunia akibat virus yang pertama kali muncul di Wuhan, China, pada akhir 2019, menurut laporan AFP.

Ia berlaku ketika syarikat gergasi farmasi AS Pfizer berkata penghantaran vaksinnya akan perlahan pada akhir Januari, yang akan menjejaskan kempen baharu imunisasi terhadap virus tersebut.

WHO pada Jumaat menggesa pemberian vaksin dibuat di seluruh dunia dan menyegerakan usaha kajian urutan virus bagi mengatasi strain baharu yang muncul di seluruh dunia.

“Saya ingin melihat vaksinasi dilakukan di setiap negara dalam tempoh 100 hari ke depan agar petugas kesihatan dan mereka yang berisiko tinggi dilindungi terlebih dahulu,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media di Geneva.

Gesaannya itu dibuat ketika jangkitan semakin menular, dengan purata 724.000 kes baharu dicatat setiap hari di seluruh dunia sejak seminggu lalu, menurut data AFP - peningkatan 10% pada minggu sebelumnya.

Lonjakan paling banyak dilaporkan di Amerika Latin dan Caribbean, dengan kes naik sebanyak 26% minggu ini. – AFP, 16 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen