Penilaian kendiri 10 hari melalui aplikasi MySejahtera bagi kes positif


Dr Noor Hisham Abdullah berkata aplikasi ini juga akan mengingatkan pengguna untuk melakukan penilaian wajib gejala Covid-19 selama 10 hari berturut-turut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2020.

PENGGUNA aplikasi MySejahtera yang didaftar sebagai kes positif Covid-19 perlu melakukan penilaian kendiri selama sepuluh hari melalui aplikasi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mulai hari ini pengguna aplikasi yang berdaftar sebagai positif Covid-19 dengan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan akan diberitahu melalui SMS dan notifikasi melalui MySejahtera.

“Pengguna akan diberi nasihat dan rancangan penilaian kendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Aplikasi tersebut juga akan mengingatkan pengguna untuk melakukan penilaian wajib gejala Covid-19 selama 10 hari berturut-turut.

Sekiranya orang itu mengalami gejala, katanya, maklumat itu akan dihantar ke Pusat Penilaian Covid-19 dan mereka akan dihubungi pegawai kesihatan untuk penilaian selanjutnya.

Bagi pengguna yang disahkan positif dan menunggu panggilan daripada KKM, mereka boleh pergi ke bahagian HelpDesk aplikasi itu untuk mendapatkan petunjuk mengenai langkah seterusnya.

Oleh itu, Dr Noor Hisham menasihatkan semua pengguna untuk mengemas kini aplikasi MySejahtera agar mereka dapat mengakses fungsi aplikasi itu sepenuhnya.

“Diharapkan dengan mengemas kini aplikasi MySejahtera, pengurusan kes Covid-9 yang positif dapat berjalan dengan lancar dan memenuhi keperluan pengguna,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa usaha ini sejajar dengan harapan kementerian untuk memutuskan rantai jangkitan dalam kalangan masyarakat secara lebih efektif. – 15 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen