Hiroshima rancang ujian vaksin Covid-19 pertama di Jepun


Ujian itu akan ditawarkan kepada 800,000 penduduk yang tinggal dan bekerja di beberapa bahagian di Bandar Hiroshima. – Gambar AFP, 15 Januari, 2021.

WILAYAH Hiroshima, Jepun akan mengadakan ujian besar-besaran Covid-19 ketika negara itu sedang bergelut dengan peningkatan jangkitan, kata pegawai.

Pegawai wilayah, Kazuhiro Saito mengesahkan ujian itu akan ditawarkan kepada 800,000 penduduk yang tinggal dan bekerja di beberapa bahagian di Bandar Hiroshima yang menempatkan 1.2 juta orang.

“Kami ingin mencari kes positif peringkat awal supaya dapat mencegah virus merebak, terutama di kawasan bandar,” katanya.

11 wilayah Jepun kini berada dalam keadaan darurat virus ketika negara itu menghadapi gelombang jangkitan ketiga walaupun Hiroshima tidak termasuk dalam 11 wilayah darurat itu.

Gabenor Hiroshima Hidehiko Yuzaki berkata, jumlah jangkitan di bandar itu pada Disember berada “pada tahap di mana ia boleh mengundang keadaan darurat,” sambil memberi amaran bandar itu menghadapi peningkatan kes yang mendadak.

Bagaimanapun, perincian mengenai bila dan di mana ujian percuma itu akan dilakukan belum diputuskan, kata Saito.

Jepun acap kali mendapat kritikan kerana tidak mengikuti strategi ujian yang digunakan oleh beberapa negara lain.

Pakar berpendapat, strategi ujian yang disasarkan, ditambah pula dengan penjejakan kontak rapat, dapat membantu mengawal jangkitan.

Setakat ini, Jepun dilanda pandemik yang secara relatifnya kecil, dengan lebih dari 4,100 kematian sejak jangkitan pertama yang disahkan setahun lalu. – AFP, 15 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen