4 Adun Perlis jalani kuarantin di rumah


Menteri Besar Perlis Azlan Man menasihatkan mana-mana individu termasuk wakil rakyat yang mempunyai hubungan rapat atau kontak dengan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang juga ahli Parlimen Padang Besar segera menghubungi pusat kesihatan terdekat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2021.

EMPAT ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Perlis menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19, kata Menteri Besar Azlan Man. 

Beliau berkata empat Exco itu menghadiri mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar pada 3 Januari lepas, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang disahkan positif Covid-19 pada Rabu.

“Empat Exco itu ialah Azizan Sulaiman yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan; Ruzaini Rais (Adun Beseri), Asmaiza Ahmad (Adun Chuping) dan Siti Berenee Yahaya (Adun Mata Ayer),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Sumbangan Kerajaan Negeri Perlis dalam Misi Bantuan Bencana Banjir Pahang di Kompleks Dewan Undangan Negeri di Kangar, hari ini.

“Mereka memang menghadiri mesyuarat itu dan bersama-sama Datuk Zahidi, mereka secara sukarela membuat saringan Covid-19 dan keputusan ujian akan diperoleh dalam masa terdekat sama ada hari ini atau esok,” katanya.

Azlan menasihatkan mana-mana individu termasuk wakil rakyat yang mempunyai hubungan rapat atau kontak dengan Zahidi yang juga ahli Parlimen Padang Besar agar segera menghubungi pusat kesihatan terdekat.

“Ia sebagai langkah awal dalam membendung penularan Covid-19 yang pastinya memberi risiko besar kepada negeri ini,” katanya. – Bernama, 15 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen