TOYOTA Motor dan Honda Motor menghentikan sementara operasi di kilang Malaysia susulan Perintah Kawalan Pergerakan Kedua (PKP 2.0), lapor Nikkei Asia.
Langkah tersebut diambil ekoran sektor pemasangan automotif dianggap sebagai industri bukan utama dan tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP.
Laporan tersebut turut berkata Honda menutup dua premisnya pada hari Rabu sementara Toyota mengambil langkah yang sama pada hari Khamis.
Honda merancang memulakan semula operasinya pada 26 Januari depan, tarikh akhir PKP 2.0.
Sementara Toyota berkata “keputusannya akan dibuat nanti.”
Syarikat Perodua juga turut menghentikan operasi pengeluarannya pada hari Khamis.
Pembuat kereta nasional kedua itu menjual 220,000 kenderaan tahun lalu, menguasai lebih dari 40% pasaran negara.
Sektor pemasangan automotif pada awalnya disenaraikan sebagai industri utama, namun sektor itu kemudiannya dinyah senarai pada saat-saat akhir.
Malaysia adalah pengeluar kenderaan ketiga terbesar di Asia Tenggara, selepas Thailand dan Indonesia.
Pengeluaran produk automotif menyaksikan penurunan sekitar 19% kepada 430,000 kenderaan dalam sebelas bulan pertama 2020.
Pada tahun 2019, Toyota mengeluarkan kira-kira 61,000 kenderaan di Malaysia, sementara kapasiti tahunan Honda pula mencatat 300,000 unit kenderaan beroda dua dan 100,000 unit kenderaan beroda empat.
Pada hari Isnin, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP di enam negeri bermula 13 hingga 26 Januari.
PKP dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah sementara Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dimulakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Sementara Perlis dan Sarawak, yang mencatat kes baharu Covid-19 paling sedikit pada ketika ini, kekal dikenakan PKP Pemulihan (PKPP). – 15 Januari, 2021.
Komen