PERKHIDMATAN optik dan kedai cermin mata dibenarkan beroperasi ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Annuar Musa.
Menteri Wilayah Persekutuan berkata industri itu dilarang beroperasi sebelum ini tetapi Majlis Keselamatan Negara semalam memutuskan untuk membenarkan ia dibuka antara 6 pagi hingga 8 malam.
“Ya, optometris kini dibenarkan untuk beroperasi. Ya, mereka perkhidmatan penting,” katanya di Twitte.
Keputusan itu susulan Persatuan Pengamal Optik Malaysia (Mapo) dan Persatuan Optometri Malaysia (MOA) mendesak Putrajaya membenarkan ia beroperasi ketika tempoh dua minggu PKP kali kedua ini.
Sepanjang PKP sebelum ini, industri itu tidak dibenarkan beroperasi walaupun rayuan dibuat.
Pada Isnin, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP lebih ketat di enam negeri dari 13 hingga 26 Januari.
Enam negeri itu ialah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
PKP bersyarat dikenakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan; sementara Perlis dan Sarawak di bawah PKP pemulihan. – 15 Januari, 2021.
Komen