PKP 2 minggu tidak akan ratakan lengkungan Covid-19, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Pakar kesihatan berpendapat penguatkuasaan PKP lebih ketat dan lama dapat meratakan lengkungan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 15 Januari, 2021.

PIHAK berkuasa perlu mengambil banyak lebih banyak langkah selain menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat dan lama bagi meratakan lengkungan Covid-19, kata pakar kesihatan.

Pakar epidemiologi dari Universiti Malaya Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata sebarang langkah sekatan yang tidak menyeluruh tidak akan memberikan hasil diharapkan untuk mengawal kadar jangkitan.

“PKP perlu lebih ketat dan lebih lama agar ia berjaya. PKP tidak menyeluruh tidak akan memberi kesan nyata pada kadar hubungan. Alasan di sebalik perintah berkurung adalah untuk mengurangkan pergerakan yang akan mengurangkan kadar hubungan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata dua minggu tidak mencukupi untuk mengurangkan kadar jangkitan.

“Jadi jika kita adakan PKP yang cukup lama, seperti enam hingga 12 minggu, jangkitan akan sangat berkurang dan jumlah kes baharu akan menunjukkan penurunan berterusan,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan semula PKP di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dari 13 hingga 26 Januari ini.

PKP Bersyarat dikuatkuasakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan sementara Perlis serta Sarawak yang mempunyai kes Covid-19 paling kurang aktif ketika ini kekal dalam fasa PKP Pemulihan.

Perdana menteri berkata sekatan terbaru itu diperlukan kerana sistem kesihatan awam berada pada tahap kritikal dengan kekurangan pasukan perubatan bahagian hadapan dan katil di unit rawatan rapi.

Pakar Dasar Kesihatan Awam Dr Khor Swee Kheng berkata Malaysia memerlukan gabungan beberapa langkah untuk memendekkan tempoh PKP.

“Terdapat dua perbezaan besar antara PKP pada Januari 2021 dan Mac 2020.

“Kes Covid-19 kini berada pada angka empat digit. Pada Mac 2020 pula pada angka tiga digit. Kita membuat ujian lebih banyak berbanding dahulu. Kedua-dua perbezaan ini bermaksud PKP berpotensi untuk dilanjutkan untuk meratakan lengkungan.

“PKP akan melibatkan kos besar dan perlu menjadi pilihan terakhir. Malaysia memerlukan gabungan langkah-langkah lain untuk memendekkan tempoh PKP seperti pengesanan kontak rapat yang lebih kuat, prosedur operasi standard yang lebih jelas dan penguatkuasaan yang lebih awal,” katanya. – 15 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen