Rekod baharu 3,337 kes Covid-19 hari ini


Ragananthini Vethasalam

Malaysia melaporkan rekod tertinggi kes harian Covid-19 dengan 3,337 jangkitan dalam tempoh 24 jam lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2021.

SEKALI lagi Malaysia melaporkan rekod tertinggi kes harian Covid-19 dengan 3,337 jangkitan dalam tempoh 24 jam lalu.

Pada 12 Januari, 3,309 kes jangkitan harian direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata kes baharu itu menjadikan keseluruhan 147,855 kes dengan kes aktif sebanyak 33,989.

Malaysia turut melaporkan 15 kematian hari ini, di mana ia rekod kedua tertinggi sejak pandemik melanda negara ini.

Kes kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif 578 kematian.

Selangor sekali lagi merekodkan kes baharu paling banyak iaitu 1,036, diikuti Johor dan Sabah dengan masing-masing 460 dan 389 kes.

Hanya tujuh kes impor dilaporkan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 1,710 pesakit dilaporkan pulih hari ini dan dibenarkan keluar dari hospital, menjadikan jumlah kseluruhan kes pulih daripada koronavirus sebanyak 113,288.

Sementara itu, 195 pesakit berada di unit rawatan rapi, di mana 86 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 14 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen