AHLI Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah disahkan positif Covid-19, lapor media.
Astro Awani melaporkan bahawa ketua Majlis Penasihat Umno itu kini dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya dan berada dalam keadaan stabil.
Laporan itu yang memetik sumber berkata, veteran Umno yang dikenali sebagai Ku Li itu adalah kontak rapat Adun Nenggiri Ab. Aziz Yussof.
Ab. Aziz dan juga Ketua Pemuda Umno Gua Musang Mohd Azmawi Fikri Abd Ghani disahkan positif Covid-19 pada 19 Januari.
Sebelum ini pegawai Tengku Razaleigh, Lokman Abdul Ghani juga disahkan positif Covid-19 dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Tiga menteri dan seorang timbalan menteri juga sudah disahkan positif Covid-19 dan kini dimasukkan ke hospital.
Mereka ialah Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia semalam mengesahkan timbalan menteri Zahidi Zainul Abidin dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selepas disahkan positif Covid-19. – 14 Januari, 2021.
Komen