KKM jelaskan kematian babitkan virus Covid-19


Pesakit mungkin awalnya positif Covid-19 tetapi meninggal dunia kerana sebab lain, kata Pakar Anaesthesiologi dan Rawatan Rapi Dr Nurilyani Bujang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2021.

TIDAK semua kematian yang melibatkan kes positif Covid-19 akan disahkan sebagai kematian akibat virus itu, kata Pakar Anaesthesiologi dan Rawatan Rapi Dr Nurilyani Bujang.

Dr Nurilyani dalam satu catatan di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini berkata statistik kematian akibat Covid-19 dibuat melalui klasifikasi dan penilaian pakar.

Ada dua kategori kematian melibatkan Covid-19, iaitu satu disebabkan oleh jangkitan virus itu sendiri, manakala satu lagi kerana sebab lain, katanya.

Kematian akibat virus Covid-19 hanya akan diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan termasuk dalam statistik kematian Covid-19 kebangsaan, katanya.

Kematian yang diumumkan oleh Dr Noor Hisham adalah kematian yang telah dimuktamadkan akibat virus Covid-19 serta mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Manakala bagi kematian kategori kedua, yang ada kaitan dengan Covid-19 tetapi virus itu bukan penyebab utama, ia tidak akan dimasukkan dalam statistik kematian kebangsaan. Bagaimanapun, kes masih termasuk dalam pemantauan KKM.

Dr Nurlilyani mengulas kekeliruan orang ramai susulan seorang pengguna media sosial mempersolkan mengapa kematian bapanya tidak disenaraikan dalam senarai kematian Covid-19 kebangsaan walaupun positif.

Bagi penjelasan lanjut, Dr Nurilyani memberikan contoh seorang pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat kemalangan tetapi positif Covid-19 selepas disaring, dan kemudian meninggal dunia.

“Kemalangan sehingga patah riuk, pendarahan sana sini. Mungkin pesakit hanyalah Covid-19 Tahap 1 yang tidak mempunyai gejala. 

“Penyebab kematiannya bukanlah disebabkan oleh jangkitan Covid-19 dan penyebab kematian adalah kemalangan. 

“Covid-19 bukan penyebab dia mati,” jelasnya.

Begitu juga dengan pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung misalnya, kemudian didapati positif Covid-19 semasa ujian saringan.

Sekiranya pesakit meninggal dunia, kematian adalah disebabkan serangan jantung, bukan jangkitan Covid-19, kata Dr Nurliyani.

“Setiap kematian perlu melalui proses semakan dan perbincangan oleh pakar-pakar. 

“Setelah perbincangan dan bersepakat, barulah laporan kematian dihantar ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC). Jadi kadang-kadang proses ini akan mengambil masa.”

Bagaimanapun, jenazah mesti diurus mengikut tatacara positif Covid-19, sama ada kematian disebabkan Covid-19 sendiri atau kematian dengan virus itu, kata Dr Nurilyani.

“Keluarga dan kotak rapat tetap akan disaring dan kuarantin.” – 14 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen