China lapor kes kematian pertama Covid-19 dalam 8 bulan


Ujian saringan Covid-19 berskala besar di Shijiazhuang, ibu kota Hebei, yang muncul sebagai pusat wabak terbaharu di China. – Gambar AFP, 14 Januari, 2021.

CHINA hari ini lapor kes kematian akibat Covid-19 pertama dalam tempoh lapan bulan, ketika negara itu melaporkan lonjakan kes.

Negara itu juga akan menerima kedatangan sekumpulan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini, yang akan mengkaji asal usul wabak Covid-19. Virus itu mula dikesan di China pada Disember 2019.

Lebih 20 juta penduduk di utara China dikenakan perintah berkurung dan satu lagi wilayah diisytihar darurat susulan peningkatan kes Covid-19.

China berjaya mengawal pandemik melalui perintah berkurung dan ujian saringan berskala besar. Namun, sebanyak 138 kes baharu dilaporkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) hari ini, angka tertinggi sejak Mac tahun lalu.

Tiada butiran terperinci mengenai kes kematian terbaharu itu, kecuali ia dilaporkan di wilayah Hebei yang kini dikenakan perintah berukurung.

Pihak berkuasa minggu lalu menjalankan ujian saringan berskala besar dan menutup rangkaian pengangkutan awam, sekolah dan kedai di Shijiazhuang. Ibu kota Hebei itu kini pusat wabak terbaharu China.

Xingtai, negeri jiran Hebei juga dikenakan perintah berkurung sejak Jumaat lalu. Perintah sama juga dilaksanakan di  bandar Langfang.

Heilongjiang yang terletak di timur laut China turut berada di bawah perintah berkurung sejak Rabu lepas. Penduduknya seramai 37.5 juta orang tidak dibenarkan keluar wilayah melainkan urusan penting, selain perhimpunan awam dibatalkan.

China tidak melaporkan kes kematian baharu akibat Covid-19 sejak Mei tahun lalu, dengan jumlah keseluruhan kematian setakat ini 4,635 orang. – AFP, 14 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen