PORTUGAL akan melaksanakan semula perintah berkurung di seluruh negara mulai Jumaat, umum Perdana Menteri Antonio Costa selepas mempengerusikan mesyuarat khas kabinet semalam.
Perintah berkurung sebelum ini dilaksanakan pada Mac san April tahun lalu. Ia sekali gus melarang operasi perniagaan tidak penting, restoran dan kafe.
Cuma kali ini sekolah dibenarkan buka, tambah Costa.
“Peraturannya mudah sahaja. Semua orang perlu duduk di rumah,” katanya.
Rakyat bagaimanapun dibenarkan keluar rumah untuk mengundi pada pusingan pertama pilihan raya presiden yang akan diadakan pada 24 Januari.
Sejak November lalu Portugal mengenakan beberapa sekatan bagi membendung penularan Covid-19 termasuk perintah berkurung dengan tempoh yang dihadkan di wilayah yang teruk terjejas.
Sekatan mula dilonggarkan sempena musim perayaan Krismas dan Tahun Baru, menyebabkan kes naik mendadak.
Portugal semalam mencatat 10,556 kes dengan 156 kematian. Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu mencecah lebih 507,000 dengan 8,236 angka kematian.
“Kita sekarang ini berada dalam saat paling bahaya. Namun, kita jangan berhenti berharap,” kata Costa, merujuk kepada program suntikan vaksin di seluruh Eropah mulai hujung Disember lalu.
“Kita mesti bersatu melawan pandemik ini, melandai keluk jangkitan dan menyelamatkan nyawa.” – AFP, 14 Januari, 2021.
Komen