KEMENTERIAN Kesihatan memerlukan tenaga kerja tambahan untuk membuka lebih banyak unit rawatan rapi (ICU) bagi memenuhi peningkatan pesakit Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan ICU dan pesakit yang memerlukan ventilator meningkat dua kali ganda berbanding bulan lalu.
“Kita masih ada kapasiti cukup di hospital di Sungai Buloh di mana kita menggunakan sekitar 60 katil ICU.
“Yang lebih penting ialah kita memerlukan lebih banyak kakitangan untuk mengendalikannya. Kita mempunyai keupayaan tetapi kekurangan tenaga kerja,” katanya di Putrajaya hari ini.
Kini terdapat 197 pesakit dalam ICU, di mana 79 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Noor Hisham berkata, KKM sedang meneliti bagaimana mereka dapat menambahkan tenaga kerja.
“Jabatan Perkhidmatan Awam sedang membantu kami dengan menawarkan tugasan lebih kepada jururawat dan yang lain. Kami dalam proses untuk merekrut lebih banyak tenaga kerja.”
Beliau berkata mereka juga sedang mencari di hospital untuk Covid-19 dan juga hospital bukan Covid-19.
“Empat puluh satu pesakit sedang di ventilasi di hospital bukan Covid-19 kerana hospital Sungai Buloh sudah penuh.
“Tetapi, kita memiliki kemampuan untuk berkembang dari 60 katil ICU menjadi 110 katil ICU, tetapi kita perlukan lebih banyak tenaga kerja.”
Noor Hisham berkata, dengan PKP dan perintah darurat ini, mereka dapat bekerjasama dengan hospital swasta untuk meninjau hospital swasta Covid-19 dan bukan Covid-19.
“Esok kita ada mesyuarat dengan hospital swasta dan akan melihat bagaimana cara terbaik untuk menampungnya.
“Kita juga perlu melihat kemampuan hospital swasta untuk menguruskan pesakit Covid-19.”
Tambah Dr Noor Hisham, perbincangan sedang dilakukan dan mereka ingin melihat bagaimana mereka dapat menampung pesakit, terutama di Lembah Klang.
“Kita akan meneliti hospital swasta di enam negeri di bawah PKP kerana tujuan utama kita adalah untuk mendatarkan keluk.” – 13 Januari, 2021.
Komen