Hospital swasta sedia bantu pesakit Covid-19, kata persatuan


Ravin Palanisamy

Peningkatan mengejutkan kes Covid-19 membuatkan KKM terpaksa mendapatkan bantuan hospital swasta bagi menguruskan pesakit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2021.

HOSPITAL swasta bersedia untuk mengurangkan beban Kementerian Kesihatan dengan mengambil pesakit Covid-19 memandangkan jumlah jangkitan virus itu semakin meningkat.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh memberitahu The Malaysian Insight, kelak hospital kerajaan terpaksa berhempas pulas menguruskan jumlah kes yang mengejutkan, dengan negara kini hampir setiap hari merekodkan empat angka kes.

“Langkah yang terpuji bila Kementerian Kesihatan telah mengambil tanggung jawab selama setahun kebelakangan ini untuk merawat pesakit Covid-19 secara eksklusif.

“Sekarang mereka menghadapi masalah kerana jumlahnya jauh melebihi kemampuan mereka walaupun mereka bertungkus lumus menguruskan dengan baik.

“Bukan niat mereka untuk menolak pesakit ke pusat kesihatan swasta, tetapi sekarang mereka meminta bantuan sebab akan ada waktunya mereka mungkin tidak dapat menguruskan semua pesakit Covid-19,” kata Dr Kuljit kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, APHM kini sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan mengenai mekanisme penerimaan pesakit Covid-19 dan pada masa sama mempelajari kaedah menguruskannya.

Beliau berkata, sangat ideal untuk pusat kesihatan swasta menerima pesakit Covid-19 yang diletakkan di bawah Kategori 1 dan 2.

Terdapat lima kategori jangkitan Covid-19: Kategori 1 adalah untuk kes positif tanpa gejala, Kategori 2 untuk kes positif dengan gejala ringan, Kategori 3 untuk kes positif dengan radang paru-paru, Kategori 4 untuk kes radang paru-paru yang memerlukan oksigen, dan Kategori 5 untuk kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Kami sekarang sedang berbincang dengan kementerian untuk mencari mekanisme dan belajar serta melatih diri kami menguruskan pesakit ini kerana mereka (KKM) sangat berpengalaman.

“Sebaiknya, kita mungkin mula dengan kategori 1, 2 atau mungkin 3. Untuk kategori 4 dan 5 terbaik buat mereka (KKM) menguruskannya di bawah ketetapan kerajaan.

“Tetapi sudah tentu kami masih perlukan persediaan andai kata kategori 1, 2 atau 3 tiba-tiba menjadi kategori 4 dan 5.

“Dalam kes ini, kami mungkin perlu uruskan sampai kita dapat katil di hospital kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, tanpa latihan yang mencukupi dalam mengurus dan menangani pesakit Covid-19, lebih banyak masalah akan terjadi.

Beliau juga berkata, hospital swasta yang besar mungkin tidak setara dengan hospital kerajaan yang besar kerana mungkin ada perbezaan dari segi struktur, infrastruktur, tenaga kerja dan pengalaman.

“Mereka mempunyai ramai pakar, pegawai perubatan… sementara di hospital swasta, kita tidak mempunyai jumlah seperti itu.

“Struktur tenaga kerja kita berbeza. Jadi, adalah sedikit kebimbangan yang perlu kita teliti sebelum kita mula mengambil sebilangan besar pesakit. – 14 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen